PETALING JAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), peneraju utama transformasi digital Malaysia, melancarkan Kempen Go-eCommerce Onboarding dan Kempen Shop
Malaysia Online (SMO).
MDEC sebagai agensi utama akan melaksanakan kedua-dua inisiatif itu berdasarkan konsep pembiayaan awam-swasta.
Menurut MDEC, sebagai sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2021, kempen ini menyaksikan kerajaan akan menyuntik pakej insentif bernilai RM200 juta bertujuan memberi sokongan kepada perniagaan tempatan pelbagai sektor menyertai platform e-dagang dan e-bayar.
Katanya, langkah itu diharap dapat meningkatkan kemampuan penjualan dalam semua platform yang mengambil bahagian dan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan.
“Di bawah kempen SMO, kerajaan memberikan insentif seperti potongan harga , rebat dan baucar penghantaran kepada rakyat bagi mendorong lebih banyak pembelian secara dalam talian dari perniagaan dan produk tempatan.
“Tambahan RM100 juta turut diperuntukkan untuk membantu perniaga tempatan menyertai platform e-dagang melalui Kempen Go eCommerce,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua kempen itu dijadualkan bermula hari ini hingga 31 Disember 2021 yang mana manfaatnya diharapkan dapat dinikmati sekitar 300,000 perniagaan tempatan termasuk 50,000 yang kali pertama mendaftar untuk menyertai kempen itu.
“Jumlah nilai dagangan kasar disasarkan melebihi RM1bilion dan mencapai 10 juta transaksi. Selain itu, kerajaan juga menyasarkan seramai 30,000 usahawan wanita mendapat manfaat daripada inisiatif ini untuk mendorong perniagaan mereka lebih berdaya maju,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, usaha memudah dan membantu perniagaan tempatan untuk bergerak ke arah pendigitalan serta operasi dalam talian akan memastikan mereka menjadi bukti potensi masa depan akibat gangguan yang berlaku.
Beliau berkata, ekonomi digital mewakili pemacu pertumbuhan negara dan pencapaian.
“Ekonomi digital mewakili pemacu utama pertumbuhan negara dan pencapaian luar biasa pada 2020 merupakan bukti kejayaan inisiatif yang dilaksanakan. Kerajaan peka dan sentiasa mengambil maklum keperluan industri dan perniagaan.
“Peruntukan yang disalurkan untuk pada tahun ini merupakan sokongan dan dorongan berterusan untuk pertumbuhan ekosistem e-dagang sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya. – UTUSAN










