MAHB tunggu ‘lampu hijau’  - Utusan Malaysia

MAHB tunggu ‘lampu hijau’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berharap kerajaan dapat memberi persetujuan terhadap Pelan Regenerasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) dalam tempoh terdekat.

Ia bakal menyumbang kepada peningkatan kapasiti keseluruhan Subang Aerotech Park sebanyak 280 peratus sekali gus menjadikan LTSAAS sebagai pusat penerbangan aeroangkasa dan perniagaan di Asia Pasifik (APAC).

Pengurus Besar KLIA Aeropolis Sdn. Bhd. (KASB), Randhill Singh berkata, pelan pembangunan semula Terminal 2 memanfaatkan kedudukan semasa Malaysia sebagai pangkalan terbesar keempat untuk armada jet perniagaan di APAC.

Jelasnya, pelan itu juga akan menjadi pemangkin dalam mengembangkan pasaran penerbangan perniagaan tempatan sehingga tiga kali ganda dalam 10 tahun akan datang.

“Rakan penerbangan antarabangsa kami yang berpangkalan di Malaysia dan diiktiraf di dunia akan menjadi pemacu utama dalam menjadikan LTSAAS sebuah lapangan terbang dengan lanskap penerbangan yang kompetitif.

“Kami mahu merebut peluang ini dan terus komited dalam mengembangkan industri penerbangan aeroangkasa dan perniagaan negara,” katanya dalam kenyataan.

Pada 25 Jun lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS kepada mana-mana pihak.

Namun difahamkan, sehingga kini MAHB masih belum memperoleh persetujuan bagi meneruskan pelan regenerasi seperti yang dirancang meskipun syarikat itu masih memiliki pajakan sehingga 60 tahun pada 2067.

Dalam rancangan Regenerasi LTSAAS, Terminal 2 akan dibangunkan semula menjadi hangar untuk menampung penempatan semula dan pengembangan penyewa-pengendali penerbangan perniagaan yang ada di lapangan terbang.

Latihan atau program penempatan semula penyewa secara keseluruhan akan dilakukan secara berperingkat untuk merobohkan struktur hangar lama dan membangun yang baharu.

Sementara itu, Pengurus Besar Berjaya Air, Arthur Lee berkata, sebagai antara operator perintis di LTSAAS sejak 1980-an, pihaknya berharap pelan tersebut dapat direalisasikan.

“Pelan ini akan meletakkan Berjaya Air sebagai peneraju penyedia perkhidmatan bagi destinasi domestik dan serantau menerusi pesawat ATR42-500,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Smooth Route, Vivian Mathews menjelaskan, LTSAAS berada di lokasi yang strategik bagi perniagaan penerbangan dan mendapat manfaat kerana kedudukannya yang paling dekat dengan ibu negara dan syarikat multinasional.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MAHB dalam merealisasikan pelann Regenerasi ini kerana kami melihat potensi besar dalam pertumbuhan penerbangan perniagaan di Malaysia dan peringkat serantau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN