PETALING JAYA: Kuala Lumpur disenaraikan sebagai bandar kesembilan terbaik dalam rantau Asia Pasifik yang dilihat bakal menjadi peneraju hab inovasi teknologi dalam tempoh empat tahun akan datang.
Menurut Tinjauan Industri Teknologi 2021 global yang dijalankan oleh KPMG, kedudukan itu dicapai berdasarkan faktor tempatan seperti infrastruktur dan demografik serta faktor makro seperti persekitaran perundangan dan potensi insentif cukai kebangsaan.
Ketua Teknologi, Sektor Media dan Telekomunikasi KPMG di Malaysia, Guy Edwards berkata, ia tidak mengejutkan memandangkan beberapa kajian telah mengenal pasti dan mengiktiraf faktor-faktor yang menjadikan Malaysia sebagai peluang pelaburan yang menarik.
“Memang ada keyakinan global yang berterusan terhadap potensi Malaysia sebagai ‘lubuk’ pembangunan hasil dedikasi kerajaan Malaysia untuk memajukan infrastruktur teknologi negara itu dengan pengenalan inisiatif seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara.
“Sementara dorongan kerajaan boleh menggandakan potensi Malaysia sebagai hab teknologi, banyak lagi perlu dilakukan berbanding sekadar memperkenalkan polisi baharu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut tinjauan tersebut, Singapura menduduki tempat pertama bandar yang dilihat sebagai peneraju hab inovasi teknologi baik di peringkat global mahupun Asia Pasifik.
Bagaimanapun, selain Singapura, Kuala Lumpur adalah satu-satunya bandar Asia Tenggara yang tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik tinjauan tersebut untuk peringkat Asia Pasifik.
Menurut Edwards, kerjasama awam-swasta yang lebih besar dalam penyelidikan dan pendidikan tinggi mampu memainkan peranan penting dalam merealisasikan potensi dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih tinggi dalam tinjauan tersebut.
Kata beliau, potensi itu bergantung kepada bukti yang ditunjukkan untuk memberi keyakinan kepada pemain swasta dalam pendayamajuan jangka panjang polisi dan kesannya kepada perniagaan, rakyat dan persekitaran.
“Tiada pendekatan yang pukul rata dan sesuai untuk semua keadaan.
“Namun, dengan pelbagai inisiatif kerajaan yang ada, syarikat perlu terus berhubung dengan agensi kerajaan Malaysia untuk memanfaatkan komitmen kerajaan,” katanya. – UTUSAN










