Kontraktor jentera rayu moratorium untuk syarikat - Utusan Malaysia

Kontraktor jentera rayu moratorium untuk syarikat

MOHD. EFFANDIE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan dirayu membantu majikan dengan memberikan moratorium pinjaman automatik sehingga setahun serta menghalang syarikat yang terjejas dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada berhadapan penggulungan.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia, Datuk Seri Mohd. Effandie Ahmad yang memaklumkan terdapat majikan khususnya kontraktor yang menanggung kerugian bagi memastikan kebajikan pekerja terbela.

“Saya yang terlibat dalam industri kren dan memiliki 250 pekerja turut terkesan dengan penutupan sektor bukan perlu ketika PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD) menyebabkan kerugian setiap sebulan.

“Malah adakah pada pasca Covid-19 nanti pekerja boleh terus bekerja seperti biasa sedangkan majikan sudah pun terkesan dengan kos overhead hampir RM500,000 yang menyukarkan syarikat untuk kembali beroperasi seperti biasa nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Selain itu, beliau berharap kerajaan turut membantu dengan memansuhkan kutipan cukai dalam tempoh yang sama seperti cukai tanah, perniagaan, pintu termasuk pengurangan bayaran lesen serta yuran lain.

“Sebagai contoh, jika tuan tanah tidak perlu membayar cukai tanah selama setahun, mereka boleh memberi pengecualian sewa kepada syarikat yang menyewa tanah mereka. Ini amat membantu mengurangkan beban peniaga atau usahawan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Affandie turut mencadangkan peningkatan skim subsidi upah daripada RM600 kepada angka yang munasabah dan pemberian rebat dalam pembayaran bil utiliti seperti elektrik dan air.

“Operator lebuh raya juga dicadang untuk mewujudkan skim rebat bersesuaian selama setahun bagi memastikan kos yang terbeban di bahu peniaga dapat dikurangkan.

“Majikan perlu terus diperkasakan dengan pelbagai inisiatif dan insentif bagi memastikan kelangsungan industri untuk pemulihan ekonomi,” katanya.

Tambah Mohd. Effandie, beliau juga bersedia untuk berbincang dengan menteri berkaitan untuk berkongsi input dari sudut pemain sebenar dalam industri bagi mewujudkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada kerajaan, majikan dan pekerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN