Hutang peneroka Felda akan dilupuskan - Utusan Malaysia

Hutang peneroka Felda akan dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelupusan itu dilakukan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal yang telah berkorban untuk kejayaan program rancangan pembangunan tanah Felda.

Pelupusan bersyarat itu merangkumi empat jenis pinjaman iaitu pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8 bilion yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka, meliputi 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 peneroka.

Selain itu, pelarasan turut dilakukan untuk sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM168 juta melibatkan 52,180 peneroka (46 peratus peneroka); sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Berhad sehingga 7 Julai 2021 bernilai RM78 juta melibatkan 38,043 peneroka (34 peratus peneroka) serta sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM56 juta melibatkan 6,711 peneroka (enam peratus peneroka).

“Dengan inisiatif ini, bebanan pinjaman yang ditanggung peneroka akan berkurangan sebanyak purata 80 peratus setiap peneroka.

“Purata bayaran balik pinjaman pula dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 hingga RM1,000 kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah, iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar oleh mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan secara prarakaman dalam sambutan Hari Peneroka Felda 2021 yang diadakan secara maya hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya