PETALING JAYA: Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia memutuskan bahawa kaedah pengukuran perakaunan bagi transaksi qard (pinjaman tanpa faedah) antara dana pemegang saham dan dana takaful di bawah keperluan MFRS 17 Kontrak Insurans dan MFRS 9 Instrumen Kewangan dibenarkan.
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat MPS ke-213, 17 April lalu.
Menurut MPS, ini kerana, jumlah bayaran balik amaun qard tidak akan bertambah walaupun prinsip nilai wang mengikut masa (time value of money (TVM) diterapkan dalam kaedah pengukuran.
Keputusan itu tertakluk kepada penzahiran maklumat komprehensif dalam nota penyata kewangan seperti berikut:
1. Keperluan pengendali takaful memberi qard daripada dana pemegang saham apabila terdapat kekurangan dalam dana takaful;
2. Sifat kontrak qard, jumlah asal qard yang diberikan kepada dana takaful dan tempoh bayaran balik yang dijangka apabila terdapat lebihan dalam dana takaful; dan
3. Penjelasan berhubung pengukuran perakaunan seperti penerapan prinsip TVM untuk menentukan nilai kini (present value) dan nilai masa hadapan (future value) bagi qard serta kesan terhadap jumlah asal qard dan pelarasan nilai saksama (fair value) yang diperlukan untuk mencapai jumlah asal.
“Penjelasan tersebut hendaklah merangkumi “hak dana pemegang saham untuk menerima jumlah qard asal” dan “obligasi dana takaful membayar balik jumlah qard asal” yang tidak berubah amaunnya sepanjang tempoh bayaran balik qard,” jelasnya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










