Kadar pengangguran Mei turun sedikit - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran Mei turun sedikit

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran menurun sedikit pada Mei 2021 namun masih kekal melebihi 700,000 orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran hanya menyusut 0.1 peratus kepada 4.5 peratus (728,100 orang) pada Mei berbanding 4.6 peratus (742,700 orang) pada April.

Ujarnya, kadar pengangguran pada dasarnya menunjukkan trend penurunan sejak Februari 2021.

“Pada Mei tahun lalu, negara merekodkan kadar pengangguran bulanan tertinggi iaitu sebanyak 5.3 peratus dengan 826,100 orang penganggur.

“Oleh itu, perbandingan dengan bulan yang sama pada tahun sebelumnya, bilangan penganggur adalah lebih rendah namun masih melebihi 500 ribu orang penganggur yang direkodkan ketika tempoh sebelum pandemik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pada awal Mei lalu, kebanyakan negeri berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan Pemulihan di mana perniagaan masih terus beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP). 

“Mulai 6 Mei 2021, beberapa negeri telah diletakkan di bawah fasa PKP bagi mengekang penularan wabak Covid-19; iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak. Sebelum itu, Kelantan telah berada dalam fasa PKP sejak akhir April 2021.

“Walaupun langkah lebih ketat dilaksanakan di negeri-negeri tersebut, semua aktiviti ekonomi termasuk perniagaan kecil dan bazar masih dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada SOP yang ketat,” ujarnya.

Menjelaskan mengenai situasi penduduk bekerja pada bulan tersebut, Mohd. Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat secara marginal sebanyak 0.1 peratus kepada 15.37 juta orang (April 2021: 15.35 juta orang). 

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk tidak berubah iaitu pada 65.4 peratus. Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Perkhidmatan makanan dan minuman; dan Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial.

“Bilangan penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan juga terus mencatatkan pertumbuhan positif bagi tempoh tujuh bulan. Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor Pembinaan, Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian menurun,” jelasnya.

Merumuskan keseluruhan situasi tenaga buruh, Mohd. Uzir menjelaskan, pasaran buruh berkemungkinan akan berdepan dengan situasi yang tidak menentu pada bulan-bulan berikutnya bergantung kepada kedudukan situasi pandemik. 

“Namun, usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai individu menerima suntikan vaksin di bawah Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan dalam usaha menjamin negara untuk mencapai objektif imuniti kelompok menjelang akhir tahun. 

“Selain itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Pemulihan dan Ekonomi (Pemulih) bagi menyokong perniagaan dan mengekalkan pekerja dalam pasaran buruh. Langkah-langkah ini diharap dapat membantu aktiviti ekonomi untuk memperoleh momentum pemulihannya, seterusnya mengekalkan kedudukan pasaran buruh pada bulan-bulan akan datang,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN