PETALING JAYA: Kadar inflasi negara pada Jun lalu meningkat 3.4 peratus kepada 123.2 daripada 119.1 bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal positif untuk bulan kelima berturut-turut sejak Februari 20201 disebabkan kesan asas yang rendah pada tahun lalu akibat penyusutan harga bahan api untuk kenderaan persendirian.
Beliau berkata, kumpulan pengangkutan merupakan penyumbang utama kepada kenaikan inflasi keseluruhan dengan 16.6 peratus, diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (3.2 peratus); hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (2.0 peratus) dan makanan & minuman bukan alkohol (1.3 peratus).
Katanya, bagi perbandingan bulanan, IHP turut meningkat 0.1 peratus berbanding Mei 2021, disumbangkan oleh sektor makanan & minuman bukan alkohol (0.3 peratus) dan pelbagai barangan & perkhidmatan (0.1 peratus).
“Kawalan Pergerakan 3.0 dan penutupan operasi bagi sektor bukan perlu yang dilaksanakan sepanjang Jun 2021 sedikit sebanyak telah meredakan tekanan inflasi ini. Sementara itu, IHP bagi suku tahun kedua 2021 meningkat 4.1 peratus kepada 123.1 berbanding 118.2 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
“Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2021,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, menurut Food and Agriculture Organization (FAO), harga makanan global kini semakin meningkat dengan kadar pantas dalam tempoh satu dekad dan diburukkan lagi dengan masalah negara-negara di dunia yang masih berusaha untuk menangani penularan pandemik Covid-19.
Di samping itu, katanya, kenaikan harga beberapa komoditi utama dunia ekoran kekurangan bekalan dan peningkatan kos perkapalan turut memberi kesan terutamanya peningkatan kepada kumpulan makanan & minuman bukan alkohol di Malaysia.
Kata beliau, peningkatan dua digit indeks minyak masak sebatian untuk bulan kedua berturut-turut semenjak Mei 2021 membuktikan bahawa Malaysia turut merasai tempias kenaikan harga global.
“Indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Jun 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.
Tambah Mohd. Uzir, tujuh negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional iaitu Terengganu (4.4 peratus), Kelantan (4.1 peratus), Pahang (3.9 peratus), Perak
(3.6 peratus), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.5 peratus), Negeri Sembilan (3.5 peratus) dan Kedah & Perlis (3.5 peratus). – UTUSAN










