Jualan kenderaan pada Jun jatuh 96 peratus - Utusan Malaysia

Jualan kenderaan pada Jun jatuh 96 peratus

PROTON X50 antara kenderaan terlaris dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan kenderaan pada Jun lalu jatuh mendadak apabila hanya mencatatkan 1,921 unit berbanding 47,204 unit pada bulan sebelumnya.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), penurunan sebanyak 96 peratus itu disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sepanjang bulan tersebut.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, jualan terpaksa dihentikan di banyak negeri sejak 1 Jun memandangkan sektor automotif tidak disenaraikan sebagai aktiviti ekonomi perlu.

“Ketika ini, hanya bengkel kenderaan motor yang dibenarkan beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi separuh pertama sektor automotif yang diadakan secara maya hari ini.

Walau bagaimanapun, sektor automotif negara mencatatkan jualan keseluruhan industri (TIV) dan jumlah keseluruhan pengeluaran (TPV) yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Aishah, TIV pada separuh pertama tahun ini mencatatkan 249,129 unit berbanding 173,545 unit tahun lalu, meningkat sebanyak 75,584 unit atau 43.6 peratus.

TPV pula mencatatkan peratus peningkatan yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 45.3 peratus atau 75,239 unit daripada 166,049 unit tahun lalu kepada 241,288 unit tahun ini.

Peningkatan tersebut, kata Aishah, sebahagian besarnya disebabkan asas yang rendah dicatatkan pada tahun lalu.

“MAA mengambil keputusan untuk menyemak semula unjuran TIV 2021 selepas mengambil kira banyak faktor, terutamanya melibatkan jangkaan arahan kerajaan yang tidak membenarkan kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan beroperasi dalam fasa pertama dan kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), dan hanya akan dibuka pada fasa ketiga,” katanya.

Dalam unjuran terbaharunya, MAA menjangkakan TIV kedua-dua kenderaan penumpang dan komersial lebih rendah berbanding yang dicatatkan pada 2020.

Untuk kenderaan penumpang, unjuran yang diletakkan ialah 454,000 unit, lebih rendah berbanding 480,965 unit pada 2020 dan kenderaan komersial pada 46,000 unit, lebih rendah berbanding 48,469 yang dicatatkan tahun lalu.

Secara keseluruhan, TIV kenderaan pada tahun dijangka pada 500,000 unit berbanding 529,434 yang dicatatkan tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN