Jual hartanah untuk aliran tunai - Utusan Malaysia

Jual hartanah untuk aliran tunai

KESAN pandemik ke atas ekonomi menyebabkan pemilik hartanah terpaksa menjual aset mereka untuk mendapatkan aliran tunai, selain tidak mampu melunaskan pinjaman bank. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai pemilik menjual hartanah mereka untuk membaiki aliran tunai dalam keadaan pandemik, sekali gus menyaksikan keseluruhan bekalan hartanah di pasaran sekunder tempatan meningkat sebanyak 34.5 peratus berbanding tahun lalu.

Menerusi laporan terkini Indeks Pasaran Hartanah Malaysia (MPMI) dikeluarkan PropertyGuru, jumlah lonjakan bekalan tahun ke tahun itu juga merupakan yang tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, keadaan pandemik menyebabkan ramai rakyat Malaysia kehilangan pendapatan sama ada disebabkan oleh pemotongan gaji, pengurangan hari bekerja dan gaji atau pemberhentian kerja.

Jelasnya, walaupun pengenalan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan memberi sedikit kelegaan, mereka yang masih kekurangan wang masih membuat keputusan untuk menjual hartanah mereka.

“Oleh itu, kita mungkin boleh melihat lebih banyak bekalan kediaman memasuki pasaran sekunder, kesan daripada mereka yang ingin melepaskan pelaburan hartanah mereka bagi meringankan beban kewangan semasa.

“Jumlah bekalan hartanah pasaran utama pula bakal terjejas pada suku tahun seterusnya disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara pada Jun lalu yang telah mengganggu operasi sektor pembinaan dan pembangunan hartanah,” katanya dalam kenyataan.

Data Pusat Maklumat Harta Tanah Nasional (NAPIC) mendedahkan bahawa jumlah unit kediaman baharu dilancarkan telah turun mendadak dari 14,865 unit pada suku keempat 2020 kepada 5,919 unit suku pertama tahun ini.

Penstabilan Harga Permintaan Hartanah pada Kadar Rendah Semasa Situasi Covid-19 yang berpanjangan telah memberi kesan ketara kepada pasaran hartanah, seperti tergambar dalam harga permintaan pasaran hartanah primer dan sekunder yang dikesan MPMI.

Indeks Harga Permintaan Hartanah PropertyGuru Malaysia mengalami trend penurunan sejak suku kedua 2020 sebanyak 2.16 peratus tahun ke tahun, serentak dengan pengesanan kes awal Covid-19 dan pelaksanaan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun pada awalnya terdapat sektor tertentu yang mampu bertahan, lanjutan sekatan pergerakan menyebabkan peningkatan kesulitan ekonomi dan kelemahan sentimen pengguna seterusnya menyumbang kepada penurunan harga sepanjang empat suku terakhir.

Namun, wujud situasi yang harga rumah sudah berada di tahap terendah, memandangkan kos semasa pembinaan bangunan tidak menawarkan ruang besar untuk menyebabkan penurunan lebih drastik.

Indeks Harga Hartanah Malaysia PropertyGuru adalah agregat dan indeks data daripada lebih 500,000 penyenaraian di PropertyGuru.com.my bagi gambaran pergerakan harga bekalan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN