PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian pada Mei meningkat 26 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
Ia merupakan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi sejak Januari 2020.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disokong oleh pengembangan dalam semua indeks, iaitu pembuatan (29.8 peratus), perlombongan (20.7 peratus) dan elektrik (7.9 peratus).
“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mei ialah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (34.8 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (49.4 peratus) serta kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (68.9 peratus).
“Kenaikan tersebut disebabkan peningkatan dalam indeks gas asli (30.9 peratus) serta indeks minyak mentah dan kondensat (8.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, nilai jualan sektor pembuatan pada Mei turut meningkat 37.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, kepada RM122.7 bilion.
Walau bagaimanapun, nilai itu 6.1 peratus lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.
Menurut Mohd. Uzir, peningkatan tahun ke tahun dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (48.7 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.
Beliau turut memaklumkan, jumlah gaji dan upah yang dibayar untuk sektor tersebut berjumlah RM7,415.7 juta, meningkat 6.4 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
“Jumlah pekerja sektor pembuatan pada Mei adalah seramai 2,236,459 orang, meningkat 2.8 peratus berbanding Mei 2020.
“Pada masa sama, nilai jualan per pekerja meningkat 33.4 peratus kepada RM54,875 berbanding bulan sama 2020. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,316 pada Mei 2021,” katanya.
Perkembangan sama turut dialami nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada Mei apabila mencatatkan peningkatan 28.3 peratus tahun ke tahun kepada RM108.3 bilion.
Mohd. Uzir menjelaskan, pertumbuhan itu didorong subsektor perdagangan borong yang meningkat 31.2 peratus kepada RM53.4 bilion; perdagangan runcit berkembang 17.3 peratus kepada RM43.3 bilion dan kenderaan bermotor melonjak 71.1 peratus kepada RM11.6 bilion.
“Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan merosot 2.5 peratus pada Mei 2021,” katanya. – UTUSAN










