Industri penerbangan Asia mungkin ambil masa tiga tahun untuk pulih  - Utusan Malaysia

Industri penerbangan Asia mungkin ambil masa tiga tahun untuk pulih 

KADAR vaksinasi yang rendah di banyak negara menjadi cabaran untuk pemulihan industri penerbangan di rantau Asia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri penerbangan Asia mungkin memerlukan tempoh tiga tahun lagi untuk pulih sepenuhnya, lebih lambat berbanding pemulihan negara-negara lain, susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), industri penerbangan di rantau itu akan mengambil masa sehingga 2024 untuk mencapai fasa pra-virus.

“Selain itu, menurut konsultan Energy Aspects, penggunaan bahan bakar jet akan mencapai pra-pandemik pada 2023 hingga 2024.

“Garis masa yang disusun itu menunjukkan kesukaran yang dihadapi Asia dan akibat yang mungkin terjadi untuk bahan bakar jet,” katanya lapor Reuters.

Jelas laporan itu, kadar vaksinasi yang rendah di banyak negara, cabaran yang ditimbulkan oleh varian Delta yang merebak dengan cepat dan sekatan perjalanan yang berterusan telah melambatkan proses pemulihan industri berkenaan di Asia.

Ia bermaksud industri penerbangan Asia tidak mungkin dapat menyokong kilang-kilang yang sedang tertekan di rantau itu, yang memproses minyak mentah dari Asia Barat ke tempat lain untuk menjadi bahan bakar jet.

Menurutnya, Amerika Utara dan Eropah telah menyaksikan permintaan yang tinggi untuk perjalanan udara semasa musim cuti, dengan Kesatuan Eropah melonggarkan syarat kuarantin dan sekatan perjalanan.

Mengulas  perkara itu, Pengarah Jualan Serantau Jepun dan Asia Pasifik OAG, Mayur Patel berkata, malangnya, hal yang sama tidak berlaku untuk Asia kerana tahap vaksinasi yang rendah, sekatan perjalanan yang ketat dan secara tiba-tiba, serta peraturan yang tidak konsisten, terus mengecewakan usaha-usaha pemulihan.

“Baru-baru ini, ekonomi terbesar di Asia Tenggara, Indonesia, mengatasi jumlah kes harian di India. Di negara lain seperti Malaysia, sedang bergelut untuk mengekang wabak tersebut daripada terus menular.

“Manakala di Seoul, Korea Selatan telah melaksanakan sekatan perjalanan yang ketat sementara Jepun bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik tanpa penonton,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat tanda-tanda beberapa negara termasuk Singapura sedang mempertimbangkan semula pembukaan sempadannya, menyaksikan perjalanan antarabangsa memerlukan tempoh lebih untuk bermula berbanding negara lain di dunia.

Seorang diplomat Australia memberitahu, rancangan Australia untuk melancarkan perjalanan tanpa kuarantin bersama Singapura mungkin hanya akan berlaku pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu, jurucakap IATA berkata, penerbangan untuk Asia-Pasifik akan hanya dimulakan semula seawal 2022.

“Kami tidak menjangkakan situasi bertambah baik dalam waktu terdekat, jadi kerajaan tidak mungkin melonggarkan kawalan sebelum semua penduduk divaksin untuk mengekang penularan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN