IGEM 2021 sasar jana RM5 bilion peluang perniagaan - Utusan Malaysia

IGEM 2021 sasar jana RM5 bilion peluang perniagaan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (Igem) 2021 meletakkan sasaran menarik penyertaan 30,000 pengunjung, 300 peserta pameran dan menjana lebih RM5 bilion peluang perniagaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penganjuran IGEM kali ke-12 pada tahun ini diadakan  selama enam bulan bermula pada 1 Julai lalu dengan menetapkan fokus tema bagi  setiap bulan dengan dimulakan tema teknologi hijau.

“Kami berharap pendekatan baharu IGEM pada tahun ini membuka ruang lebih luas kepada para peserta untuk meneroka  peluang perniagaan dan pasaran baharu serta menjalin kerjasama lebih strategik dengan mengalu-alukan peserta melayari  portal IGEM bagi mendapatkan maklumat pelbagai subjek mengikut  tema, 24 jam sehari.

“Tidak sekadar itu, IGEM juga menawarkan platform kepada semua  peserta menyertai lebih 50 agenda persidangan, webinar dan pameran selain menampilkan ramai peneraju industri dan pakar  bidang di peringkat nasional dan antarabangsa yang akan berkongsi  pengetahuan dalam segmen-segmen menarik seperti ekonomi kitaran,  ekonomi hidrogen, kelestarian tenaga dan analisis data raya,” katanya berucap pada majlis perasmian IGEM 2021 secara maya hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, IGEM 2021 akan memainkan peranan efektif dalam memenuhi mandat kementerian sebagai peneraju agenda kelestarian di  Malaysia serta meletakkan negara di landasan tepat untuk memacu pelan  pembangunan rendah karbon dan pengurangan impak perubahan iklim.

Selain itu, katanya, IGEM juga diharap bertindak sebagai platform yang  akan mencetuskan inovasi baharu dalam merencana pertumbuhan  ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Menurut beliau, Pelan Strategik Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020 -2030 dalam menangani perubahan iklim di Malaysia  antaranya ialah mengemas kini dan memuktamadkan sasaran negara serta menggariskan hala tuju lebih jelas untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) di bawah Perjanjian Paris.

Katanya, turut diambil tindakan ialah membangunkan Pusat Gas Rumah Hijau Negara dan menyemak semula Dasar Perubahan Iklim Negara 2009 serta merangka undang-undang perubahan iklim negara.

“Mekanisme Pasaran Karbon Negara turut diwujudkan dan menyusun strategi pembangunan Rendah Karbon Jangka  Panjang (LT-LEDS).

“Pada masa sama, banyak inisiatif berkaitan perubahan iklim  dilaksanakan sepanjang tempoh enam bulan lalu antaranya pelancaran Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Malaysia (NLCCM) sebagai rangka kerja strategik untuk mentransformasikan bandar rendah karbon di Malaysia serta menggalakkan pembangunan  rendah karbon lebih komprehensif ke tahap lebih  tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Persidangan Bandar Rendah Karbon (MyL3C) berjaya  menghimpunkan ramai pakar bidang daripada pelbagai  peringkat pentadbiran kerajaan, ahli akademik dan pemain  industri untuk mencambahkan pengalaman dan idea selain pemberian Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) untuk membantu pihak  berkuasa tempatan dalam pelaksanaan inisiatif bandar rendah  karbon berimpak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN