PETALING JAYA: Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Universiti of Camridge Institute for Sustainability Leadership (CISL) akan menganjurkan progam pendidikan eksekutif berkaitan kepemimpinan lestari untuk industri kewangan Islam.
Program Kelestarian Kepimpinan untuk Institusi Kewangan itu akan diadakan pada 14 dan 15 Julai ini, dirasmikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Menurut IBFIM, program itu dianjurkan bagi menyokong komitmen oleh Komuniti Pengamal (COP) Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, pihaknya sangat teruja untuk bekerjasama dengan CISL, sebuah institusi kelestarian global yang terkemuka.
“Kami yakin program itu yang dihasilkan secara eksklusif oleh CISL untuk industri kewangan Islam, akan mendorong penerapan VBI dan memperkukuhkan peranan industri dalam memajukan masa depan yang lestari,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif CISL, Claire Shine berkata, pihaknya telah bekerjasama selama lebih 30 tahun bersama pemimpin-pemimpin di dalam bidang perniagaan dan kewangan, pembuat dasar dan masyarakat umum bagi membantu mereka memahami dan menangani cabaran global yang kritikal serta menggunakan pengetahuan dan jaringan sedia ada sebagai perantara bagi memajukan konsep kelestarian.
Jelasnya, CISL komited untuk menangani perubahan iklim, melindungi dan memulihkan alam semula jadi dalam membina masyarakat yang inklusif dan berdaya tahan.
“Kami juga berharap dengan kerjasama yang sedia ada bersama IBFIM, program kepemimpinan transformatif ini dapat dilaksanakan bagi membantu institusi kewangan mengambil tindakan terhadap risiko dan peluang di dalam era global yang berubah dengan pantas,” katanya.
IBFIM adalah institusi pembelajaran sepanjang hayat yang memberi pengkhususan kepada pensijilan teknikal untuk industri tersebut.
Pensijilan yang ditawarkannya direka untuk memastikan pencapaian tahap kemahiran teknikal bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan menyokong usaha untuk memprofesionalkan industri tersebut. – UTUSAN










