i-Citra: Elak pengeluaran sia-sia - Utusan Malaysia

i-Citra: Elak pengeluaran sia-sia

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran i-Citra menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) haruslah dimanfatkan sepenuhnya oleh golongan yang benar-benar terkesan agar duit persaraan ahli KWSP tidak terjejas dan masih menerima faedah kompaun yang berganda di masa hadapan.

Namun, terdapat segelintir masyarakat mengambil peluang ke atas pengeluaran yang tiada syarat ini untuk memenuhi kehendak peribadi dan bukan untuk memenuhi keperluan hidup.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nurazilah Zainal berkata, tindakan tersebut amat tidak wajar untuk golongan yang tidak terkesan antaranya individu yang masih menerima gaji penuh tanpa sebarang penolakan.

Menurutnya, pengeluaran secara konsisten dan tanpa tujuan akan memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.

“Pengeluaran berterusan seperti i-Lestari, i-Sinar dan yang terbaharu i-Citra akan mengakibatkan lebih daripada 80 peratus pencarum tidak memenuhi sasaran simpanan minimum iaitu sekitar RM240,000 di usia persaraan.

“Hal ini amat membimbangkan kerana jumlahnya dilihat tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos sara hidup pada masa depan lebih-lebih lagi dengan pengeluaran yang telah dilakukan sekarang.

“Selain itu, pengurangan caruman sebanyak sembilan peratus berbanding 11 peratus sebelum ini turut memberi aplikasi wang persaraan anda akan lebih berkurangan.

Jelas Nurazilah, pengeluaran tersebut turut memberi kesan apabila ingin membuat pengeluaran apabila sudah mencapai umur 50 tahun nanti kerana jumlah wang simpanan menerusi caruman dalam Akaun 2 semakin menipis.

“Ini kerana, program i-Sinar sebelum ini berfungsi sebagai pinjaman pendahuluan dan bukannya kemudahan yang diberikan semata-mata.

“Pada kebiasaannya, ahli menyumbang 70 peratus ke Akaun 1 manakala 30 peratus ke akaun 2. Dengan pengeluaran i-Sinar, ahli perlu membuat caruman 100 peratus ke Akaun 1 sehingga wang pendahuluan itu dibayar sepenuhnya. Setelah selesai barulah ia akan kembali mencarum ke akaun 2 semula,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya berfikir sebaiknya sebelum memohon pengeluaran i-Citra dan lebih bijak dalam berbelanja.

“Untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), diharapkan pegeluaran ini dapat menambah baik aliran tunai syarikat dan kepada individu pula, perlu utamakan keperluan untuk kelangsungan hidup dan bukan kehendak semata-mata,” tambah beliau.

KWSP memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Citra untuk membantu ahli KWSP
menghadapi cabaran kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam jangka masa pendek.

Permohonan pengeluaran i-Citra itu boleh dilakukan mulai 15 Julai lalu dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN