PETALING JAYA: Hitachi Ltd. (Hitachi) mengumumkan pengambilalihan GlobalLogic Inc. (GlobalLogic) mengikut syarat perjanjian yang telah ditandatangani pada 31 Mac lalu.
Menurut Hitachi, anak syarikatnya dari Amerika Syarikat (AS), Hitachi Global Digital Holdings LLC (HGDH), telah memperoleh 100 peratus saham tertunggak GlobalLogic Worldwide Holdings Inc. (GlobalLogic Worldwide Holdings), syarikat induk GlobalLogic Worldwide Holdings.
Justeru, ujarnya, GlobalLogic Worldwide Holdings dan GlobalLogic telah menjadi anak syarikat milik penuh HGHD.
Mengulas perkara itu, Ketua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitachi, Toshiaki Higashihara berkata, pihaknya gembira menyambut kedatangan GlobalLogic ke dalam Kumpulan Hitachi.
“Objektif kami adalah untuk menjadi peneraju global dalam perniagaan inovasi sosial dengan mempercepat transformasi digital infrastruktur sosial menerusi gabungan inovasi produk digital dan kemampuan reka bentuk GlobalLogic dan kebolehpercayaan Hitachi dalam bidang itu.
“Melalui penciptaan kolaboratif dengan pelanggan di seluruh dunia, Hitachi dan GlobalLogic akan bekerjasama untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan pelanggan dengan memanfaatkan perniagaan penyelesaian digital utama kami iaitu Lumada,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, pengambilalihan itu akan meningkatkan kemampuan Hitachi untuk meneruskan strateginya dengan mempromosikan perniagaan inovasi sosial menerusi teknologi digital bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan dan masyarakat.
Selain itu, katanya, Hitachi akan mempercepat transformasi digital infrastruktur sosial pada skala global dengan memperluaskan Lumada ke seluruh dunia.
Jelasnya, kemampuan GlobalLogic yang digabungkan dengan Lumada akan membolehkan GlobalLogic menyebarkan perpustakaan penyelesaian digital Hitachi secara meluas ke pasaran global selain membantu pelanggan dan masyarakat menyelesaikan masalah melalui pembangunan aplikasi itu.
“Kami mengharapkan kolaborasi antara lima sektor GlobalLogic dan Hitachi iaitu telekomunikasi maklumat (IT), tenaga, mobiliti, kehidupan pintar dan perniagaan sistem automotif (Hitachi Astemo) akan menambah nilai luar biasa untuk pelbagai produk, menambah teknologi digital yang maju dan penyelesaian Lumada baharu.
“Hitachi dan GlobalLogic juga akan bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup pelanggan dengan memberi tumpuan kepada tiga kunci utama iaitu alam sekitar, ketahanan dan keselamatan,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GlobalLogic, Shashank Samant berkata, kerjasama berkenaan akan mencipta peluang unik untuk menyatukan teknologi operasi, IT dan kejuruteraan digital di bawah satu payung.
Shashank memberitahu, pihaknya bersemangat untuk bergabung dengan Hitachi dan mengembangkan bakat serta pengalaman mereka untuk mewujudkan hasil yang inovatif buat pelanggan serta nilai yang lebih besar untuk masyarakat.
Dengan lebih daripada 21,000 profesional yang bekerja di pusat kejuruteraan dan studio reka bentuknya di seluruh dunia, GlobalLogic merupakan pakar dalam kejuruteraan digital canggih, reka bentuk pengalaman, perkhidmatan data dan pengalaman digital baharu melalui penciptaan kolaboratifnya pada skala global. – UTUSAN










