PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka menghadapi cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Ini kerana kata beliau, kemunculan varian baharu Covid-19 yang lebih berbahaya telah mencetuskan sentimen pesimis di peringkat global dan nasional.
“Selanjutnya, sekatan pergerakan yang berpanjangan untuk melindungi nyawa boleh mempengaruhi prospek pemulihan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, Indeks Pelopor (IP) yang bertindak sebagai indikator kepada pergerakan ekonomi ke hadapan secara keseluruhannya turut mencatatkan pertumbuhan perlahan kepada 6.9 peratus pada Mei daripada 15,7 peratus bulan sebelumnya.
Prestasi itu katanya, didorong oleh import benar logam asas berharga dan logam bukan ferum lain serta bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan.
Beliau berkata, pada masa yang sama, IP turun sebanyak 2.9 peratus bulan ke bulan, dengan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain yang turun 1.2 peratus, terutama platinum, adalah antara komponen yang mendorong penurunan tersebut.
“Kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend, walau bagaimanapun bergerak menurun dan ekonomi Malaysia dijangka akan menghadapi cabaran dalam mengekalkan momentum pemulihan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, dari perspektif Indeks Serentak (IS) yang menunjukkan prestasi ekonomi pada bulan rujukan, ia perlahan kepada 10 peratus pada Mei lalu setelah mencatatkan pertumbuhan tahunan 20.2 peratus bulan sebelumnya.
“Sebaliknya, prestasi bulanan IS menurun 1.3 peratus pada Mei 2021 dipengaruhi oleh penurunan ketara dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-1.2 peratus), terutamanya disebabkan oleh kejatuhan 15.8 peratus dalam jualan runcit di kedai khusus yang menjual bahan api kenderaan,” katanya. – UTUSAN










