Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan minggu ini dengan positif apabila ditutup lebih tinggi di mana indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,522.5 mata.

Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks Pembinaan Bursa Malaysia adalah sektor yang paling maju berbanding sektor lain setelah ditutup dengan 1.0 peratus lebih tinggi.

“Dari segi data ekonomi pula, Indeks Harga Pengguna Malaysia akan dikeluarkan pada Jumaat depan dan ia akan menentukan sekiranya tekanan inflasi akan kekal tinggi.

“Ia juga yang merupakan komponen penting yang dipertimbangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan dasar monetari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Adam memberitahu, kompromi yang telah dicapai antara Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah membenarkan UAE meningkatkan pengeluaran sebanyak 3.65 juta tong minyak sehari bermula 22 April 2022.

Ujarnya, itu memberi sedikit keselesaan kepada kaunter minyak dan gas di Bursa kerana ia menunjukkan prospek untuk lebih banyak pengeluaran di masa hadapan.

Justeru jelasnya, ringgit juga dijangka akan didagangkan antara RM4.19 hingga RM4.21 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan berikutan kesan yang dimiliki oleh minyak mentah Brent terhadap ringgit.

“Memandangkan terdapat cuti perayaan pada minggu hadapan, kami menjangkakan tidak banyak aktiviti perdagangan.

“Tetapi, para pelabur akan terus memerhatikan kes Covid-19 harian di Malaysia yang berada di atas 10,000 kes selama empat hari berturut-turut sementara jumlah vaksin harian yang diberikan melebihi 400,000 dari Isnin hingga Khamis minggu ini.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan FBM KLCI akan diperdagangkan dalam julat 1,515 hingga 1,535 mata minggu hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN