PETALING JAYA: Bursa Malaysia petang ini ditutup 0.7 peratus lebih tinggi dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,527.62 mata selepas susut 3.45 mata kepada 1,516.52 mata, semalam.
Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, peningkatan itu didorong oleh kenaikan saham syarikat telekomunikasi seperti Digi dan Axiata yang kedua-duanya meningkat lebih 2.0 peratus sebagai tambahan kepada kenaikan aktiviti tawar menawar MR D.I.Y sebanyak 3.9 peratus berikutan 4.0 peratus pada hari sebelumnya.
“Secara amnya, para pelabur kini berada dalam mod yang berisiko kerana menjangka Bank Pusat Eropah akan mengekalkan rangsangannya selagi wabak Covid-19 menjadi ancaman kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Secara sektoral, Indeks Perladangan Bursa Malaysia muncul sebagai antara sektor yang untung besar apabila ia ditutup 1.1 peratus lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, prestasi ringgit melihat sedikit peningkatan tetapi kekal sekitar RM4.22 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Adam menjelaskan, itu kerana harga minyak yang meningkat walaupun terdapat kenaikan inventori minyak mentah AS yang tidak dijangka. – UTUSAN










