PETALING JAYA: Kerajaan perlu membuka sektor ekonomi secara bertanggungjawab menggunakan sains, data serta prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik dalam usaha menguruskan krisis dalam negara akibat penularan wabak Covid-19.
Ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ hanya satu cara untuk ‘membeli masa’ dan bukanlah satu penyelesaian yang mampan manakala Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan empat fasanya bukanlah satu strategi keluar dari pandemik yang jelas.
Justeru, Kumpulan ekonomi, Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa) menggesa kerajaan merangka SOP yang bersifat lebih dinamik serta diperbaharui secara berkala dengan input daripada pemegang taruh dan data di lapangan.
Katanya, sektor perlu dibuka secara selektif kerana pendekatan satu penyelesaian untuk semua tidak akan membantu negara dan kerajaan juga perlu fokus memastikan ruangan yang ada kalis-pandemik dengan langkah-langkah berkesan.
“Langkah utama, buka semula sektor dengan jangkitan yang rendah secara beransur-ansur misalnya sektor yang dijalankan di ruang terbuka menggunakan data daripada penjejakan MySejahtera serta kemaskini SOP untuk memastikan kualiti udara ruang dalaman yang lebih baik.
“Kerjasama swasta-awam juga penting dalam merangka SOP premis perniagaan dan tempat kerja untuk memastikan keberkesanannya. Pembukaan semula perjalanan perlu diperkenalkan dengan mempertimbangkan gelembung perjalanan yang membatasi interaksi antara individu,” katanya.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada cadangan dalam strategi ketiga #ProjekMuhibah Refsa yang disediakan oleh bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industri, Dr. Ong Kian Ming; Penasihat Ekonomi Refsa, Frederik Paulus dan Penyelidik Refsa, Jaideep Singh.
Selain itu, institusi penyelidikan itu turut meminta fasa 2 dan 3 PPN merangkumi usaha untuk membolehkan sektor dibuka semula secara kreatif dan membuang perbezaan antara sektor penting dan tidak penting.
“Ini kerana, dengan SOP yang berkesan, tidak ada sektor ekonomi yang dianggap terlalu berisiko untuk dibuka.
“Sekolah juga perlu dibuka secara berperingkat dengan mengambil kira kebolehan menjalankan pembelajaran di rumah dan kelas, dengan SOP yang ketat untuk para pelajar yang bersekolah seperti yang dilakukan di Portugal dan United Kingdom (UK),” jelasnya.
Refsa menegaskan, tiada gunanya mempunyai SOP yang padat di atas kertas jika tidak dipraktikkan dengan berkesan.
Justeru, mereka menyarankan pelaksanaan SOP yang komprehensif, konsisten dan dinamik seperti Rancangan Pembukaan Semula Portugal awal tahun ini kerana ia memberikan garis panduan yang jelas untuk setiap situasi, dengan penekanan untuk meminimumkan aktiviti dalaman dan kejadian kesesakan orang ramai sambil menyeimbangkan keperluan perniagaan.
“Malaysia perlu menetapkan masa pembukaan semula dengan betul. Jika terlalu lewat, ekonomi akan terjejas namun jika terlalu cepat akan mengakibatkan pengulangan fasa ‘lockdown’ seperti yang berlaku di Chile.
“Kerajaan juga harus menunjukkan penguatkuasaan SOP secara konsisten dan kejadian layanan berbeza atau berat sebelah tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya. – UTUSAN










