AirAsia ambil alih Gojek - Utusan Malaysia

AirAsia ambil alih Gojek

Melalui kerjasama itu, Gojek akan menerima pegangan saham dalam AirAsia Super App.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Digital mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand.

Kerjasama itu dijangka dapat mengembangkan AirAsia Super App di ASEAN, pada masa sama meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Menurut AirAsia Group, melalui kerjasama itu, Gojek akan menerima pegangan saham dalam AirAsia Super App yang kini bernilai AS$1 bilion (RM4.15 bilion).

Katanya, kerjasama bersejarah itu membina satu asas yang kuat bagi kedua-dua syarikat untuk terus meneroka pelbagai peluang perniagaan di salah satu wilayah yang paling pesat berkembang di dunia.

“Sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada Thailand, airasia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem sedia ada untuk perkhidmatan rakan penghantar, perniagaan dan pelanggan dengan menawarkan pelbagai tawaran baharu seperti makanan, barangan runcit dan produk kecantikan.

“Perkhidmatan ini juga akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat.

“Aplikasi Gojek akan terus beroperasi untuk para pengguna semasa di Bangkok sehingga 31 Julai 2021 untuk memastikan suatu peralihan yang lancar bagi pihak berkepentingan Gojek, termasuk pemandu dan peniaga yang akan dijemput menyertai airasia Super App dalam beberapa minggu akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, ia permulaan kerjasama strategik jangka panjang yang luar biasa bersama Gojek yang bakal menggegarkan industri.

Beliau berkata, dengan pengambilalihan perniagaan Gojek di Thailand, kami dapat memacu perkembangan dalam industri ini sebagai aplikasi terkemuka di ASEAN dengan lebih pantas.

“Kami telah mempunyai ekosistem ekonomi digital yang lengkap dengan lebih daripada 15 produk dan perkhidmatan gaya hidup selain penerbangan yang pelbagai di platform e-dagang digital kami di Malaysia.

“Kini tiba masanya untuk kami membawa visi kami ke tahap seterusnya. Untuk memenuhi permintaan yang luar biasa dari seluruh pelusuk rantau ini, kami akan mula melancarkan airasia Super App di semua pasaran utama selepas pelancaran di Thailand,” katanya.

“Kesemua perniagaan digital kami kian bertambah kukuh dan melalui kerjasama ini, visi kami supaya airasia Super App menjadi menjadi satu aplikasi pilihan di seluruh ASEAN bakal menjadi kenyataan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN