PETALING JAYA: Seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung akan mendapat manfaat diskaun bil elektrik secara bersasar di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Menurut TNB, pemberian diskaun antara lima hingga 40 peratus akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik.
Selain itu katanya, diskaun sebanyak lima peratus kepada pengguna-pengguna elektrik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan TNB.
Tambahnya, diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus pula melibatkan 11,800 pengguna.
Enam sektor itu adalah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.
“Di bawah pakej PEMULIH, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10 peratus diskaun sehingga 31 Disember 2021, seperti dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Selain diskaun di bawah Pakej PEMULIH, pengguna elektrik di Semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj dari Julai hingga Disember 2021,” jelasnya dalam kenyataan semalam.
Syarikat utiliti itu memberitahu, untuk kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik PEMULIH adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai hingga 30 September 2021.
Kata TNB, pihaknya sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun itu berjalan lancar.
“Sehubungan itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai bil bertarikh 15 Julai 2021. Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 hingga 14 Julai 2021, diskaun Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil Ogos 2021,” katanya.
TNB memberitahu, pelanggan yang menerima bil sepanjang Julai 2021 akan menikmati diskaun mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan berkenaan.
“Diskaun yang diberikan adalah selepas mengambil kira rebat ICPT. Diskaun akan mula dinikmati sepenuhnya dalam bil bulan Ogos dan September 2021,” jelasnya.
Tambah TNB, pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menerusi langkah-langkah berikut:
* Tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0
Fasa 1
* Penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi 6 bulan sehingga 30 September 2021
* Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021. – UTUSAN










