PETALING JAYA: Kedai serbaneka terkemuka di negara, 7 Eleven Malaysia menawarkan promosi beli satu percuma satu dari sekarang hingga 31 Ogos ini kepada mereka yang menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Mereka yang telah mendaftar untuk vaksinasi dan telah mengambil dos pertama atau telah divaksin sepenuhnya dan menerima sijil digital, layak mendapat pelbagai jenis barangan percuma yang ditawarkan oleh 7 Eleven.
7 Eleven dalam kenyataan memberitahu, bagi menuntut tawaran beli satu percuma satu di kedai itu, pelanggan harus menunjukkan bukti pendaftaran untuk vaksinasi atau penyelesaian dos vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.
“Selain itu, pengguna aplikasi My7E akan dapat menikmati hadiah ahli eksklusif termasuk makanan ringan yang lazat dan susu daripada Wall’s dan Magnolia!
“Antara pertengahan Julai hingga awal Ogos, 50,000 batang aiskrim Wall’s Asian Delight dalam pelbagai perisa menarik serta 72,000 unit susu Magnolia akan diberikan secara percuma. Jadi, pastikan anda memerhatikan aplikasi itu dan media sosial kami untuk mendapat barang percuma,” katanya.
Ujarnya, pelanggan hanya perlu menunjukkan aplikasi MySejahtera kepada juruwang kedai untuk membuktikan status vaksinasi, imbas ID keahlian dan menebus e-kupon percuma di aplikasi My7E.
Tawaran itu sah di seluruh negara selagi stok masih ada.
Menurut kedai serbaneka itu, ahli aplikasi My7E juga boleh mendapatkan Slurpee percuma dengan sebarang saiz untuk setiap enam cawan yang dibeli melalui 7Rewards. – UTUSAN










