3,726 pelanggan SME Bank terima moratorium - Utusan Malaysia

3,726 pelanggan SME Bank terima moratorium

SME Bank XCESS merupakan inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 3,726 pelanggan SME Bank diberikan kemudahan moratorium sehingga enam bulan dan lanjutan tempoh bayaran balik sehingga 12 bulan melibatkan jumlah pembiayaan bernilai RM5.4 bilion melalui Program SRP Pemulih (SRP-SME Relief Program).

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, SRP Pemulih bukan sahaja untuk moratorium malah menawarkan lanjutan tempoh pembiayaan untuk membolehkan pelanggan mengurus aliran tunai yang lebih efektif.

“Sebelum ini, SME Bank telah menawarkan pakej SRP 1.0 dan 2.0 yang bertujuan memulihkan kembali perniagaan yang terjejas.

“Untuk SRP 1.0, SME Bank telah membantu seramai 3,084 orang pelanggan dengan nilai pembiayaan RM4.1 bilion manakala bagi SRP 2.0 yang berbentuk bantuan bersasar, 311 orang pelanggan dengan nilai pembiayaan bernilai lebih dan RM248 juta telah mendapat manfaat daripada bantuan ini,” katanya dalam kenyataan.

ARIA PUTERA ISMAIL

Jelas beliau, sejak dari awal pandemik serta pengenalan SRP 1.0 sehingga SRP PEMULIH, SME Bank proaktif membantu usahawan PKS.

“Pegawai Perhubungan Bank telah menghubungi semua pelanggan untuk memahami masalah yang dihadapi dan bagaimana cara terbaik untuk mengatasinya.

“Ini ditambah dengan proses yang dipermudahkan iaitu pelanggan yang memenuhi kriteria kelayakan tidak perlu memohon sebaliknya ditawarkan pilihan mengikut keperluan mereka,” ujarnya.

Sektor-sektor yang mendapat perhatian SME Bank adalah sektor pelancongan dan pengangkutan penumpang yang merupakan sektor paling teruk terjejas akibat pandemik.

Sektor lain yang turut menerima bantuan secara keseluruhannya termasuk sektor perkhidmatan, peruncitan serta pembinaan.

Sementara itu, untuk terus membantu usahawan PKS menangani masalah pembiayaan dan perniagaan yang sedang mereka alami, SME Bank akan mengadakan program SME Bank XCESS 2021 secara maya pada 26 Julai ini.

Program berbentuk padanan perniagaan ini akan menghimpunkan 20 syarikat anchor, sembilan syarikat ekuiti persendirian, agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan pihak swasta yang akan menawarkan bantuan secara terus kepada usahawan yang hadir.

Pendaftaran untuk menyertai SME Bank XCESS 2021 boleh dibuat di www.smebankxcesss2021.net.

Maklumat lanjut boleh hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank di 03-26037700 atau layari laman web dan media sosial rasmi SME Bank. – UTUSAN

 

habis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN