PETALING JAYA: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) kecewa dengan tindakan HSBC Bank yang dilaporkan mahu menutup 13 cawangannya di seluruh negara dan membuang lebih 600 pekerjanya daripada Kumpulan B40 dan M40 menjelang akhir tahun ini.
UNI-MLC dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menerima maklumat mengenai perkara membabitkan antara bank tertua di Malaysia itu.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal justeru kecewa dengan tindakan bank itu yang dilaporkan dilakukan buat kali ketiga dalam tempoh enam tahun dan dibuat tanpa menghormati undang-undang negara dan Perjanjian Kolektif antara pekerja dan majikan.
“UNI-MLC berpandangan bahawa tindakan HSBC ini tidak wajar dilakukan. Pertamanya, HSBC mengambil tindakan ini ketika rakyat dan negara sedang bertarung menghadapi impak pandemik Covid-19, yang sudah memasuki tahun kedua.
“Seolah-olah HSBC menggunakan persekitaran Covid-19 untuk melaksanakan rancangan mereka. Ini merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Kedua, HSBC sebagai sebuah bank multinasional terus mencatatkan keuntungan. Oleh itu, UNI-MLC bertegas bahawa tidak ada sebab mengapa ia harus mengambil tindakan drastik mahu
mengurangkan pekerja dan membuang pekerja,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan reaksi daripada bank berkenaan setakat ini masih tidak berjaya.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, pihaknya berpandangan bahawa Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) atau Skim Pemisah Sukareka (MSS) satu bentuk pembuangan pekerja yang tidak wajar dilakukan oleh mana-mana majikan dan organisasi, terutama entiti yang merekodkan keuntungan secara berterusan, dan bukan sebaliknya.
“Majikan seharusnya menyediakan latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja tetap mereka sekiranya mereka benar-benar bersikap jujur mahu mengukuhkan operasi. Langkah memberi skim VSS dan MSS dan mengurangkan pekerja begitu sahaja bukan satu tindakan perhubungan perusahaan yang baik bagi pekerja, majikan dan negara.
“Oleh itu, UNI-MLC menggesa HSBC menarik balik langkah menawarkan VSS dan MSS, dan membatalkan tindakan menutup cawangan-cawangan mereka di seluruh negara, di mana langkah
penutupan itu juga membawa kesulitan kepada para pelanggan. UNI-MLC juga dimaklumkan tindakan HSBC ini mendapatkan kebenaran dan kelulusan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










