PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$110.94 bilion (RM460.18 bilion) setakat 31 Mei lalu, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (IMF SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut BNM, aset mata wang asing lain bagi tempoh sama berjumlah AS$882.8 juta (RM3.66 bilion).
BNM dalam satu kenyataan berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing apabila matang berjumlah AS$6.09 bilion (RM25.26 bilion).
“Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$8.34 bilion (RM34.59 bilion) manakala jumlah kedudukan hadapan panjang adalah sebanyak AS$880 juta (RM3.65 bilion) pada akhir Mei 2021, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.
Bank pusat itu menjelaskan, sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek berjumlah AS$2.3 bilion (RM9.55 bilion) bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Menurutnya, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$389.1 juta (RM1.62 bilion)
“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” tambahnya. – UTUSAN










