Syarikat bantu rakyat, ekonomi bertahan tempoh pandemik
PETALING JAYA: Bagi memastikan ekonomi negara kekal bertahan dalam tempoh pandemik, kerajaan perlu mengenakan cukai durian runtuh (windfall tax) ke atas syarikat-syarikat yang tetap mengaut keuntungan.
Ini kerana, setakat Belanjawan 2021 lepas, tiada cukai durian runtuh dikenakan kepada perusahaan yang terus mencatat keuntungan, malah hanya tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM400 juta sahaja yang perlu dilunaskan.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, daripada mengenakan cukai tambahan, adalah lebih baik mengenakan windfall tax yang kemudiannya boleh digunakan untuk memperbesar perniagaan dan menambah keuntungan lain-lain perusahaan di negara ini.
Ujarnya, kerajaan boleh memainkan peranan sebagai ‘jambatan’ untuk merealisasikan program tersebut sekali gus membolehkan pertambahan produksi negara.
“Sektor pembuatan yang terus maju ini boleh dikembangkan untuk melibatkan banyak lagi perniagaan domestik terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi masalah. Mungkin dilantik sebagai vendor, atau kerajaan memberikan pinjaman mesin.
“Hasilnya, kutipan cukai bertambah dan syarikat-syarikat terjejas terutamanya dapat dibantu secara langsung.
“Dengan menambahkan lagi nilai rantaian yang melibatkan PKS tempatan, ia akan membantu meningkatkan pengeluaran negara sebagai pengeksport utama dunia dalam pengeluaran sarung tangan dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ketika diminta mengulas mengenai Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan, Aimi Zulhazmi menyifatkan bantuan tersebut lebih terperinci dan menyeluruh, hasil kajian dan pengumpulan maklum balas selepas tujuh pakej yang diluluskan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu.
“Jumlah bantuan sehingga RM150 bilion secara keseluruhannya merupakan 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara dan merupakan antara pakej terbesar selain Belanjawan Negara 2021.
“Keprihatinan kerajaan dengan memberikan moratorium secara automatik amat tepat pada masa ini kerana berlaku pelbagai masalah terutamanya dalam pembayaran hutang dan kadar hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah tinggi,” ujarnya.
Tambah beliau, mengikut statistik Bank Negara Malaysia (BNM), nisbah hutang domestik isi rumah Malaysia meningkat ke paras baharu 93.3 peratus pada Disember 2020, dari paras tertinggi sebelumnya 87.5 peratus pada Jun 2020.
“Keadaan ini sekali gus dapat mengawal kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) daripada terus meningkat dalam tiga bulan lagi seterusnya menambah bilangan muflis di negara ini. Pihak bank juga tidak perlu membuat anggaran NPL yang besar apabila moratorium diberikan,” tambah beliau. – UTUSAN










