Perkenal nilai ambang kes di peringkat negeri.
PETALING JAYA: Pemulihan ekonomi negara boleh dipercepatkan dengan kerajaan melaksanakan nilai ambang atau indikator jangkitan baharu kes Covid-19 di peringkat negeri atau wilayah.
Menurut Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan dari Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, kerajaan ketika ini meletakkan jumlah kes baharu kurang 4,000 sebagai nilai ambang pelan pemulihan negara.
Bagaimanapun jelas beliau, jumlah tersebut adalah di peringkat negara, sedangkan di peringkat negeri terdapat terdapat negeri dengan jangkitan kes baharu yang rendah dan memungkinkan untuk sektor-sektor ekonomi di negeri terbabit dibuka lebih awal.
Beliau berpendapat, jika bilangan penduduk tahun 2021 digunakan sebagai pemberat untuk menggarkan nilai ambang mengikut negeri, maka didapati sebilangan negeri merekodkan jumlah kes baharu lebih rendah dari nilai ambang negeri tersebut. Contoh untuk negeri Johor, nilai ambangnya ialah 465, kes baharu yang dicatatkan pada 28 Jun ialah 243 dan pada 29 Jun ialah 271. Terengganu nilai ambangnya ialah 154, kes baharu yang dicatatkan pada 28 Jun hanya 23 dan pada 29 Jun ialah 21
Begitu juga dengan beberapa negeri lain seperti Kelantan, Perlis, Pulau Pinang dan wilayah Sabah yang mencatatkan bilangan kes baharu yang lebih rendah daripada nilai ambang negeri-negeri tersebut pada 28 dan 29 Jun. Walau bagaimanapun, pemerhatian ini mungkin perlu lebih daripada dua hari bagi memastikan bilangan kes baharu yang terus lebih rendah daripada nilai ambang negeri sebelum sektor ekonomi dibuka semula berperingkat-peringkat.
“Mungkin prosedur operasi standard (SOP) sektor ekonomi di negeri tertentu yang jumlah kes baharu lebih rendah daripada nilai ambang negara, boleh dilonggarkan berperingkat-peringkat. Selain itu, pembukaan semula sektor ekonomi berperingkat-peringkat di negeri-negeri tersebut juga merupakan satu bentuk inisiatif dan galakkan moral untuk mereka terus mematuhi SOP yang sedia ada.
“Oleh itu, sektor ekonomi di negeri tertentu boleh bergerak lebih awal, mungkin ke tahap 50 hingga 80 peratus, tanpa menunggu nilai ambang negara kurang daripada 4,000 kes sehari.
“Dengan syarat, mereka tetap mematuhi SOP yang diarahkan dari semasa ke semasa, daripada menunggu sesuatu yang tidak pasti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan sebelum ini meletakkan nilai ambang atau indikator untuk negara beralih dari Fasa Pertama kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah kes jangkitan harian Covid-19 kurang daripada 4,000 kes.
Bagaimanapun, dengan kes yang belum turun di paras bawah 4,000 kes, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 14 Julai ini.
Malah, bukan sahaja tidak turun, negara terus merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 semalam daripada 5,218 kes kelmarin kepada 6,437 kes. Selangor berada di atas dengan 2,299 kes diikuti Kuala Lumpur 1,361 kes dan Negeri Sembilan 700 kes. – UTUSAN










