MR D.I.Y. beri lebih ganjaran - Utusan Malaysia

MR D.I.Y. beri lebih ganjaran

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Berhad, peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia bekerjasama dengan ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet dengan memberi ganjaran baucar pulangan tunai MR D.I.Y. kepada belia yang menebus kredit eBelia melalui kedua-dua penyedia e-wallet ini.

Pengguna ShopeePay akan menerima baucar pulangan tunai bernilai RM5 yang boleh ditebus semula di cawangan-cawangan MR. D.I.Y. dan MR. DOLLAR dengan pembelian minimum sebanyak RM10, manakala pengguna e-wallet Touch ‘n Go akan menerima baucar pulangan tunai bernilai RM2 yang boleh ditebus di cawangan-cawangan MR D.I.Y. dengan perbelanjaan minimum RM40.

Semua baucar yang diberikan akan mengikut konsep siapa cepat dia dapat, dan penebusan adalah terhad kepada satu baucar bagi setiap penerima eBelia.

Bercakap mengenai inisiatif tersebut, Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y. Group, Andy Chin berkata, pihaknya sentiasa mencari jalan untuk menyokong rakyat dan membantu mereka mendapat lebih nilai untuk wang.

Jelasnya, kerjasama ini membolehkan belia Malaysia mendapat lebih nilai daripada program eBelia yang dianjurkan oleh kerajaan, di samping menggalakkan generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup tanpa tunai.

“Kami mempunyai pelbagai rangkaian produk yang sesuai digunakan oleh pelajar dan golongan belia untuk pembelajaran, antaranya alat tulis, aksesori komputer dan aksesori telefon pintar.

“Inisiatif ini membantu belia untuk terus memenuhi keperluan gaya hidup dan pembelajaran mereka tanpa perlu berbelanja keterlaluan. Ini juga adalah satu cara kami memenuhi janji Always Low Prices,” katanya dalam kenyataan.

Penerima eBelia boleh menggunakan baucar tersebut untuk membeli pelbagai pilihan produk termasuk makanan dan minuman, produk penjagaan diri dan kesihatan, aksesori komputer, produk keperluan dan perlengkapan rumah dan banyak lagi.

Pelajar institut pengajian tinggi yang berumur antara 18 hingga 20 tahun boleh menebus kredit eWallet bernilai RM150 dari satu daripada empat platform e-Wallet yang mengambil bahagian iaitu ShopeePay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, dan BigPay.

Penebusan kredit eBelia boleh dibuat dari 1 Jun hingga 22 Julai manakala kredit tersebut boleh digunakan sehingga 31 Julai ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN