Lonjakan kes Covid-19 jejas pemulihan ekonomi Malaysia - Utusan Malaysia

Lonjakan kes Covid-19 jejas pemulihan ekonomi Malaysia

Penularan Covid-19 yang masih berlarutan, menjejaskan aktiviti perniagaan dan sektor ekonomi dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menerima maklum semakan semula laporan Bank Dunia terhadap unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan edisi ke-24 oleh bank tersebut turut menilai kembali suasana semasa ekonomi negara.

“Kami ambil maklum semakan semula unjuran KDNK yang dijangka hanya 4.5 peratus, lebih rendah daripada ramalan rasmi kerajaan iaitu antara 6 hingga 7.5 peratus,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap melancarkan laporan terbaharu Pemantauan Ekonomi Malaysia Jun 2021 – Luluhawa Lonjakan oleh Bank Dunia secara maya semalami.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, ekonomi Malaysia pada asasnya menyaksikan landasan pemulihan kukuh sebelum Mei lalu dengan prestasi sebenar KDNK yang bertambah baik.

Ia dibuktikan apabila pertumbuhan merekodkan negatif 0.5 peratus pada suku pertama tahun ini dibantu lantunan semula pelbagai petunjuk ekonomi lebih kukuh berbanding tahun lalu.

Di samping itu, Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri pada 15 Jun lalu juga menyediakan strategi sistematik dengan kerangka masa pembukaan semula ekonomi.

“Malangnya, peningkatan kembali kes positif wabak Covid-19 disusuli pelaksanaan sekatan pergerakan penuh telah pun menjejaskan pemulihan semula ekonomi Malaysia,” kata Mustapa.

Mustapa Mohamed

Beliau menegaskan, kerajaan komited meneruskan konsultasi awam-swasta bagi merangka dasar yang lebih baik.

Ini ujarnya, termasuk kesan pandemik ke atas aktiviti ekonomi dan pemulihan pasca Covid-19 selain unjuran trajektori pertumbuhan domestik untuk tempoh jangka sederhana dan panjang.

Justeru sekiranya langkah dilaksanakan kerajaan termasuk pelan vaksinasi lebih pantas dan sekatan pergerakan yang tegas, Malaysia mampu pulih semula pada suku keempat tahun ini.

“Unit Perancang Ekonomi juga sedia bekerjasama erat dengan Hab Kewangan Lestari dan Pertumbuhan Inklusif Bank Dunia di Kuala Lumpur bagi memacu ekonomi Malaysia,” katanya.

Mustapa merujuk ramalan optimis bank itu terhadap ekonomi negara sejajar unjuran KDNK global sepanjang tahun ini sebanyak 5.6 peratus berbanding sebelumnya hanya 4.0 peratus.

Usaha itu dijangka mampu dicapai susulan jaminan para pemimpin blok negara kaya G7 pada 11 Jun lalu yang berikrar menyumbang satu bilion dos vaksin Covid-19 untuk negara miskin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×