PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan pada Mei turun kepada 4.4 peratus daripada 4.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan, penurunan itu disebabkan inflasi yang lebih rendah dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol dan kategori pengangkutan.
Jelas BNM, inflasi keseluruhan secara relatif kekal tinggi pada bulan itu, mencerminkan asas yang rendah daripada harga bahan api pada tahun lalu namun, inflasi keseluruhan dijangka menurun lagi apabila kesan asas itu reda.
“Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) meningkat mendadak sebanyak 71.5 peratus pada April berbanding hanya sembilan peratus pada Mac, berikutan asas yang rendah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Kegiatan ekonomi terus pulih secara menyeluruh mulai Mac. Pada asas bulanan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan melonjak sebanyak 5.1 peratus berbanding -1.7 peratus pada Mac,” kata BNM dalam kenyataan.
BNM turut memberitahu, pertumbuhan pembiayaan bersih secara amnya mampan iaitu 4.8 peratus pada Mei dan 4.9 peratus bulan sebelumnya.
Keadaan itu mencerminkan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang stabil dalam keadaan pertumbuhan bon korporat yang sederhana iaitu masing-masing 7.2 dan 7.7 peratus pada Mei dan April.
“Pinjaman isi rumah terkumpul mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus namun pengeluaran pinjaman dan bayaran balik pinjaman menurun bagi kebanyakan tujuan. Hal ini sebahagiannya disebabkan pelaksanaan PKP 3.0.
“Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal mampan pada 0.4 peratus dalam keadaan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lembap,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan sorotan BNM, pasaran kewangan domestik pada Mei terjejas akibat faktor dalam negara dan luaran, sementara sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik di rantau ini.
“Akibatnya, FBM KLCI merosot sebanyak 1.1 peratus dan ringgit menyusut nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dengan dolar AS.
“Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 9.0 mata asas didorong oleh jangkaan peningkatan rangsangan fiskal dalam negeri untuk menyokong kegiatan ekonomi,” ujarnya.
Kenyataan itu turut memaklumkan, institusi perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan tekanan yang mungkin berlaku serta meneruskan perantaraan kredit dalam ekonomi.
“Meskipun nisbah modal menurun sedikit, lebihan penampan modal bank kekal kukuh pada RM119.9 bilion pada Mei 2021.
“Institusi perbankan terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan. Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6 dan 1.0 peratus.
“Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit berada pada 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan,” jelas BNM. – UTUSAN










