Hess, Petronas setuju pindaan UGSA - Utusan Malaysia

Hess, Petronas setuju pindaan UGSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hess Malaysia bersama rakan kongsinya Petronas Carigali Sdn. Bhd. mengumumkan capaian persetujuan pindaan Perjanjian Penjualan Gas Huluan (UGSA) bagi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) PM302.

Rundingan dengan pihak Petronas itu adalah untuk memasukkan penjualan dan pembelian gas yang dihasilkan dari lapangan Kangsar serta gas yang dihasilkan dari mana-mana lapangan PSC PM325 pada masa depan di bawah syarat UGSA sedia ada.

UGSA mengawal penjualan dan penghantaran gas dari projek Lembangan Melayu Utara (LMU) kepada Petronas serta membantu memenuhi komitmen pembekalan dan penjualannya di Semenanjung Malaysia.

Naib Presiden Hess Asia, Zhiyong Zhao berkata, pindaan ke atas UGSA itu adalah tonggak penting untuk pembangunan berterusan projek LMU.

“Pindaan UGSA ini memberikan capaian kepada bekalan gas baharu yang penting untuk kemakmuran ekonomi serta keselamatan tenaga negara sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pembekal gas asli utama negara.

“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini dalam usaha untuk terus mambangunkan projek Lembangan Melayu Utara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Lapangan gas asli Kangsar yang terletak di luar pesisir Semenanjung itu ditemui pada 2018 dan merupakan sebahagian daripada pembangunan LMU Fasa 4A yang dipersetujui baru-baru ini di mana gas pertama disasarkan pada suku ketiga 2022.

Hess Malaysia dan Petronas Carigali telah menandatangani Heads of Agreement tahun lalu untuk menyatukan lapangan tersebut bagi tujuan pembangunan.

Hess Malaysia kini dalam Fasa 2 pembangunan LMU manakala program mencari gali untuk Fasa 3 dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini dan gas pertama dirancang pada suku pertama 2022.

Projek LMU yang merangkumi PSC PM302 dan PM325 adalah aset gas asli jangka panjang terdiri daripada 10 lapangan gas asli yang dijumpai dengan anggaran sumber boleh pulih kasar lebih 1.5 trilion kaki padu gas asli dan lebih 20 juta tong kondensat.

Hess Malaysia, anak syarikat Hess Corporation, memiliki kepentingan 50 peratus dalam projek LMU dan merupakan pengendali, manakala selebihnya dipegang oleh Petronas Carigali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya