JOHOR BAHRU: Anak syarikat Johor Corporation (JCorp), Damansara Aset Sdn. Bhd. (DASB) mengumumkan telah menyertai gabungan United Nations Global Compact (UNGC) melalui rangkaian tempatan di negara ini iaitu UN Global Compact Network Malaysia and Brunei (UNGCMYB).
Pengarah Urusan DASB, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya komited untuk memastikan 10 prinsip UNGC diberi tumpuan.
Katanya, antara prinsip berkenaan termasuk hak asasi manusia, pekerja, alam sekitar, anti rasuah dan sasaran masa depan yang mapan menjelang 2030.
“Sebagai antara syarikat perkhidmatan hartanah utama, DASB komited untuk memasarkan projek yang berdaya mapan dan melaksanakan amalan bisnes baik dalam urusan hariannya.
“Kami percaya dengan kerjasama dan jaringan komunikasi yang baik, jadi penyertaan dalam UNGC ini adalah komitmen kami dalam menghadapi pengembaraan ini bersama-sama dengan kakitangan, klien dan pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Hazman, DASB telah melibatkan diri dalam pelaksanaan prinsip-prinsip yang dipegang UNGC sebelum menyertai pertubuhan berkenaan lagi.
“DASB komited sepenuhnya dalam usaha mengurangkan jejak karbon global dengan mengurangkan penggunaan tenaga dalam urusan hariannya melalui beberapa inisiatif.
“Inisiatif ini termasuk pemasangan panel solar untuk kegunaan sebuah bangunan milik DASB yang akan menjimatkan sehingga 30 peratus penggunaan tenaga elektrik,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah UNGCMYB Johor, Edey Suresh memberitahu, pihaknya menyambut baik komitmen ditunjukkan DASB dan yakin usaha itu akan memulakan gerakan kepada banyak lagi syarikat mengimplementasikan perkara sama dalam pentadbiran mereka.
“Idea bahawa syarikat boleh terus berkembang maju dalam masa sama turut memegang kepada nilai-nilai yang penting kepada pengguna dan pemegang taruh adalah mesej yang kami mahu sampaikan,” jelasnya. – UTUSAN










