fbpx

Bantuan PPN masih dalam proses kajian

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan menegaskan, bantuan semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) masih dalam proses perincian dan kajian yang lebih lanjut.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kajian itu dibuat bagi menentukan langkah-langkah seterusnya yang boleh diperkenalkan untuk membantu kelangsungan rakyat dan perniagaan dalam mendepani cabaran sepanjang bulan yang akan datang.

Walau bagaimanapun, kata beliau, bantuan sedia ada akan disalurkan secara berterusan termasuklah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) yang diperkenalkan bagi mengurangkan beban rakyat semasa Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kita juga melindungi individu yang hilang pekerjaan merangkumi semua golongan dan juga mereka yang terjejas dalam sektor-sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Fasa 1, 2 dan 3.

“Sebagai satu bentuk perlindungan daripada masalah kewangan dan aliran tunai, mereka boleh mendapatkan moratorium pinjaman automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Kementerian Kewangan telah menekankan kepada sektor perbankan supaya mempermudah pelaksanaan bantuan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman kepada mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan atau pengurangan pendapatan,” katanya dalam Laporan Laksana semalam.


Menurut Tengku Zafrul, bantuan-bantuan yang telah dilaksanakan dan yang sedang dirancang di bawah PPN disusun secara tidak terpisah, saling melengkapi dan dijalankan secara berterusan.

Kata beliau, PPN mengambil pendekatan menyeluruh sebagai sebuah negara, yang mana semua rakyat dan perniagaan juga perlu memainkan peranan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membantu memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

“PPN akan dijalankan secara berfasa dengan nilai ambang atau indikator-indikator utama yang perlu dicapai sebelum beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

“Ini bermakna, sekiranya nilai ambang yang ditetapkan tidak dicapai, negara tidak akan bergerak ke fasa berikutnya dalam PPN,” katanya.

Menurut beliau, dengan baki RM100 bilion daripada pakej rangsangan ekonomi serta RM200 bilion dari Belanjawan 2021 masih belum dibelanjakan, Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memperincikan lain-lain bentuk bantuan yang akan disalurkan kelak sepanjang pelan pemulihan tersebut. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI