Bank perlu bantu PMKS tanpa campur tangan kerajaan - Utusan Malaysia

Bank perlu bantu PMKS tanpa campur tangan kerajaan

Dalam memacu agenda kelestarian, antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi mengambil alih pinjaman buruk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) patut dilakukan oleh pihak bank tanpa campur tangan kerajaan.

Penganalis Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, keadaan kewangan pihak perbankan di negara buat masa ini adalah amat memuaskan jadi mereka mampu melakukan pelan itu tanpa perlu bantuan kerajaan.

“Mereka mampu menstruktur semula pinjaman dan pembiayaan PMKS serta mengurangkan kadar faedah atau kadar keuntungan (bank konvensional atau Islam) secara bersendirian tanpa inisiatif atau SPV kerajaan.

“Pihak perbankan telah meraih banyak keuntungan jadi tidak perlu bantuan kerajaan. Sekiranya hanya pihak kerajaan sahaja yang memberi suntikan dana bagi mewujudkan SPV itu, pihak bank akan menjadi semakin ranggi dan angkuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, sektor perbankan patut bersama-sama memperjuangkan hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan bukannya bersikap lepas tangan.

Baharom memberitahu, paling tidak pun, sektor perbankan harus memberi komitmen bersama dengan pihak kerajaan. Sebagai contoh, masing-masing menyuntik RM2 bilion untuk mestruktur semua dan mengurangkan kadar faedah itu.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Chin Chee Seong berkata, sekiranya cadangan penubuhan SPV itu dilaksanakan, ia akan membantu PMKS menghadapi masalah aliran tunai dan pengurusan kewangan semasa waktu yang sukar ini.

“Kedua-dua jenis pinjaman tanpa faedah dan faedah rendah patut disediakan. Kebanyakkan PMKS telah menutup perniagaan mereka kerana tidak mampu bertahan susulan Perintah Kawalan Pegerakan ketat yang masih dilanjutkan sehingga kini.

“Memandangkan kerajaan menjangkakan keadaan ekonomi akan kembali normal pada November ini (sekiranya 70 peratus rakyat telah divaksin), dengan pihak bank yang tidak fleksible dalam memberi sokongan, langkah itu amat diperlukan,” katanya.

Ujarnya, penjualan dan pendapatan kebanyakan PMKS tidak akan pulih dengan cepat. Dengan langkah itu, beliau yakin dapat membantu PKMS.

Kelmarin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff menyarankan kerajaan menubuhkan SPV bagi mengambil alih pinjaman buruk PMKS sebagai salah satu strategi pemulihan negara.

Katanya, langkah itu boleh dilaksanakan dengan kerajaan melalui SPV mengambil alih pinjaman bank tersebut dan mengubahnya menjadi pinjaman sama ada tanpa faedah atau dengan faedah 0.25 peratus setahun, tetapi dalam jangka masa pembayaran yang lebih lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×