PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan prestasi lebih baik pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu dengan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM973.5 juta.
Ia merupakan peningkatan RM236.8 juta berbanding PAT RM736.7 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Menurut TNB, peningkatan itu berikutan pengurangan signifikan dalam kerugian terjemahan mata wang asing sebanyak RM331.2 juta dan peningkatan dalam perolehan pengakaunan pada nilai saksama instrumen kewangan sebanyak RM135.3 juta.
Jelasnya, perbelanjaan tersebut tidak dibenarkan untuk percukaian, menjadikan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi pada RM224.1 juta dan kadar cukai efektif yang lebih tinggi pada 34.1 peratus untuk suku tersebut.
Bagaimanapun, hasil untuk suku itu jatuh 1.5 peratus, daripada RM11.65 bilion pada suku sama tahun lalu kepada RM11.48 bilion tahun ini.
“Perbelanjaan operasi (opex) berkurang daripada RM9.54 bilion kepada RM9.15 bilion atau 4.2 peratus, sebahagian besarnya kerana kos penjanaan yang lebih rendah.
“Ini menghasilkan keuntungan operasi yang lebih tinggi pada RM2.33 bilion, peningkatan RM104 juta atau 4.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia semalam.
Menurut TNB, Lembaga Pengarahnya menjangkakan prospek pemulihan beransur untuk prestasi syarikat itu tahun ini, disokong oleh pemulihan ekonomi Malaysia dan global.
Jelasnya, syarikat itu telah mengambil langkah cermat dari segi keperluan operasi dan kewangannya bagi memastikan syarikat tersebut terus berdaya tahan.
“Walaupun pelaksanaan semula langkah pembendungan baru-baru ini, impaknya terhadap pertumbuhan dijangka kurang parah berbanding yang berlaku pada 2020 memandangkan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.
“Dengan sokongan dasar yang berterusan, ekonomi Malaysia masih dalam landasan untuk pemulihan pada 2021 dan seperti yang diunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi dijangka pulih antara enam hingga 7.5 peratus,” katanya. – UTUSAN










