fbpx

15 Jun 2021, 9:39 am

  TERKINI

Penutupan bazar wajar kekang Covid-19

KEPUTUSAN menutup operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman adalah untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dalam kalangan penunjung dan peniaga. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Keputusan penutupan semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini disifatkan satu langkah wajar memandangkan jumlah kes Covid-19 kebelakangan ini semakin membimbangkan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, meskipun pihak berkuasa tempatan (PBT) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran bazar tersebut, sebaliknya perlu dipersoalkan adalah sejauh mana kepatuhan orang ramai terhadap ketetapan tersebut.

“Bukan masalah SOP tetapi kepatuhan itu penting, bayangkan kalau 100 dalam satu-satu masa, pihak berkuasa susah untuk memantau pematuhan ini, kalau-kalau seorang dua bolehlah dipantau tetapi kalau melibatkan ramai susah.

“Namun begitu, saya berpandangan penutupan kedua-dua bazar ini patut dibuat lebih awal atau pada pertengahan Ramadan. Jika ini dilakukan, saya percaya kes jangkitan Covid-19 boleh kurang tidak seperti mana hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan PKP akan ditutup mulai hari ini manakala bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Hal ini kerana kerajaan pernah memberi amaran SOP akan diperketatkan di semua kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya kes Covid-19 meningkat di seluruh negara.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, langkah penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri yang tersenarai dalam sistem HIDE dilihat lebih bersasar berbanding menutup secara keseluruhan.

Katanya, ia secara langsung dapat mengurangkan beban para peniaga yang baharu sahaja mencari peluang rezeki akibat kesan pandemik Covid-19.

“Kita jangan pukul rata semua peniaga kalau tutup semua bazar. Oleh itu sistem HIDE ini adalah tepat pada masanya agar lokasi hotspot sahaja ditutup sedangkan terdapat bazar lain di lokasi selamat agar diteruskan peniagaan.

“Penutupan bazar amat sesuai ekoran kenaikan kes Covid-19 tetapi biarlah ia dilakukan bertepatan dengan usaha mengekang virus ini di samping tidak memberi kesan kepada keseluruhan peniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat berkata, HIDE perlu dijadikan rujukan semua termasuk orang ramai sejajar usaha mencegah kemunculan jangkitan dan kluster baharu.

“Seperti bazar Aidilfitri, ia dibenarkan untuk membantu peniaga mencari nafkah tetapi setiap mereka perlu memastikan adanya penjarakan dan tidak mengabaikan SOP.

“Biarpun sesetengah perniagaan masih dibenarkan berlangsung dalam tempoh PKP kawalan ketat bilangan pengunjung perlu dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN