Kes Covid-19 terus meningkat, sekatan separa gagal? - Utusan Malaysia

Kes Covid-19 terus meningkat, sekatan separa gagal?

Polis membina sekatan jalan raya bagi memastikan pematuhan SOP Covid-19 bagi mencegah penularan Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Strategi sekatan separa yang digunakan kerajaan untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 tidak membuahkan hasil dan gagal, tegas seorang penganalisis ekonomi.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, penutupan sektor ekonomi secara bersasar yang dijalankan kerajaan gagal untuk mengekang peningkatan kes yang kini mencecah lebih 7,000 kes sehari.

Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan tiada lagi pilihan selain melaksanakan sekatan penuh selama 14 hingga 21 hari walaupun ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Apa ertinya pertumbuhan ekonomi jika nyawa melayang dan kesihatan (awam) nazak?

“Walaupun ada yang berpandangan bahawa sekatan penuh akan menyebabkan rakyat terhimpit, kita jangan lari dari kenyataan bahawa sekatan separa tidak membuahkan hasil. Secara jujurnya, ia gagal,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa sekatan penuh akan mengganggu momentum pertumbuhan ekonomi yang dalam prestasi ketika ini.

Tegas Baharom, yang menggusarkan ketika ini ialah kadar kematian yang semakin meningkat dan membimbangkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya seluruh sektor ekonomi ditutup kecuali sektor yang mempunyai kepentingan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan makanan.

Selain daripada sektor kritikal, kata beliau, sektor lain yang ingin beroperasi perlu memastikan pekerja mereka telah memperoleh sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, dengan mengguna pakai sijil digital vaksin untuk membuka sektor ekonomi lain secara berperingkat.

“Negara kita belum mencapai imuniti kelompok seperti United Kingdom (UK) yang rancak dan agresif melaksanakan program vaksinasi sehingga berjaya menurunkan kadar kematian daripada 1,000 kepada tiga kes sehari.

“Tiada ertinya mencapai pertumbuhan enam peratus dan mendabik dada kita berjaya memulihkan ekonomi namun kebinasaan lingkungannya, ratusan atau ribuan nyawa yang terkorban.

“Pertumbuhan ekonomi yang negatif, keholangan pendapatan  atau kekayaan dapat diganti, namun kehilangan nyawa tidak dapat ditebus kembali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN