Kawal selia industri vape, bukan rampas - Utusan Malaysia

Kawal selia industri vape, bukan rampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) menggesa kerajaan untuk mewujudkan satu undang-undang atau peraturan untuk mengawal selia industri vape dan bukannya merampas produk-produk vape daripada usahawan terbabit.

Timbalan Setiausaha Agung Persatuan E-Vaporizers dan MEVTA,  Syamil Hanafiah berkata, tindakan pihak berkuasa seolah-olah mahu menutup periuk nasi mereka yang kini sudah cukup terjejas berikutan impak dari pandemik Covid-19.

“Perniagaan sedia ada sudah pun terjejas ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan kita tahu ekonomi negara juga tidak stabil.

“Serbuan yang merampas pelbagai produk-produk berkaitan vape itu telah mengakibatkan usahawan-usahawan terbabit kerugian ratusan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, pihaknya akan berbesar hati untuk turut serta dalam mencurahkan idea bagi membentuk satu peraturan khusus untuk industri berkenaan.

Ujarnya, jika terdapat undang-undang yang diperkenalkan untuk industri itu, usahawan-usahawan yang majoritinya bumiputera dapat berkembang dan menjana pendapatan.

Tambahnya, industri itu mempunyai potensi besar kerana ia bernilai kira-kira lebih daripada RM2 bilion.

“Kerajaan harus mengambil peluang itu untuk melihat pada sisi positif kemampuan ia menjana pendapatan negara, mencipta peluang pekerjaan serta potensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik.

“Dengan adanya undang-undang, pemain industri berada di landasan yang betul dan boleh menjalankan urus niaga secara sah tanpa ragu-ragu,” kata Syamil.

Sementara itu, Syamil berpendapat tindakan yang dilakukan oleh pasangan suami isteri yang tidak bertanggunjawab memberi anak berusia dua tahun menggunakan vape baru-baru ini pasti akan memberi persepsi negatif terhadap penggunaan vape.

Justeru, jelasnya, isu itu menunjukkan peraturan berkenaan penggunaan vape mesti diperkenalkan supaya dapat membendung perkara seperti itu daripada berlaku lagi.

“Negara-negara seperti United Kingdom (UK) dan New Zealand sudah melaksanakan peraturan progresif untuk mengawal selia industri vape termasuk menyenaraikan larangan penggunaan oleh kanak-kanak yang dibawah umur 18 tahun.

“Tetapi di Malaysia, pemain industri masih menunggu undang-undang itu digubal dan terpaksa berhadapan dengan isu yang menimbulkan persepsi negatif ke atas penggunaan vape walaupun ia dapat membantu perokok berhenti merokok sebagai alternatif yang kurang memudaratkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya