Industri China tumbuh lebih perlahan - Utusan Malaysia

Industri China tumbuh lebih perlahan

CHINA merekodkan pertumbuhan sektor perindustrian yang lebih perlahan April lalu disebabkan penularan pandemik Covid-19 di negara itu. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Pendapatan syarikat perindustrian China meningkat pada kadar lebih perlahan pada April berikutan harga komoditi yang tinggi dan prestasi lebih lemah di sektor barang pengguna membataskan keuntungan keseluruhan sektor pembuatan.

Data Biro Statistik Nasional (NBS) menunjukkan, keuntungan perindustrian China meningkat 57 peratus tahun ke tahun pada April kepada 768.63 bilion yuan (RM498.07 bilion), merosot berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 92.3 peratus Mac lalu.

Untuk tempoh Januari hingga April, keuntungan syarikat industri meningkat 106 peratus kepada 2.59 trilion yuan (RM1.68 trilion) berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pegawai NBS dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan prestasi korporat masih tidak sekata.

“Keuntungan beberapa industri barangan pengguna belum pulih sepenuhnya pada tahap sebelum pandemik, ditambah pula dengan harga komoditi pukal yang tinggi yang sekali gus meningkatkan tekanan pada pengeluaran dan operasi industri pertengahan serta hiliran,” katanya.

Ekonomi China mencatat pertumbuhan pada suku pertama selepas kembali pulih berdasarkan penurunan kes penularan wabak Covid-19 walaupun penganalisis menjangkakan perkembangan pesat akan mendatar menjelang akhir tahun ini.

Pegawai memberi amaran bahawa asas pemulihan ekonomi masih belum selamat di tengah-tengah masalah yang timbul, termasuk tekanan terhadap syarikat disebabkan kos bahan mentah yang lebih tinggi ketika harga komoditi antarabangsa meningkat.

Dari awal tahun hingga pertengahan Mei, harga untuk rebar keluli China, gegelung keluli panas dan tembaga yang penting untuk pembinaan mesin, bangunan, perkakas dan kenderaan melonjak lebih 30 peratus.

Eksport dipercepat pada April berikutan peningkatan pesanan dari China yang dipacu kepantasan kadar pemulihan Amerika Syarikat (AS) dan penutupan operasi kilang di negara-negara yang dilanda wabak termasuk India.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan aktiviti kilang dan pengeluaran agak perlahan pada April kerana syarikat menghadapi cabaran seperti kekurangan cip dan kontena, masalah dalam logistik antarabangsa dan kenaikan kadar barang.

Liabiliti di firma industri meningkat 8.6 peratus tahun ke tahun pada akhir April, menyusut berbanding pertumbuhan sembilan peratus pada akhir Mac lalu.

Data keuntungan industri merangkumi syarikat besar dengan pendapatan tahunan lebih daripada 20 juta yuan (RM12.96 juta) untuk operasi utama mereka. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN