Ekonomi lebih baik, KDNK suku pertama 2021 susut 0.5 peratus - Utusan Malaysia

Ekonomi lebih baik, KDNK suku pertama 2021 susut 0.5 peratus

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut untuk suku tahun keempat berturut-turut apabila mencatat pertumbuhan negatif 0.5 peratus pada suku pertama 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penyusutan itu bagaimanapun lebih baik berbanding suku-suku sebelumnya dan beberapa petunjuk ekonomi mempamerkan peningkatan walaupun berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku tersebut.

KDNK menyusut 17.2 peratus pada suku kedua 2020, sebelum terus mencatatkan pertumbuhan negatif pada -2.7 peratus dan -3.4 peratus masing-masing pada suku ketiga dan keempat.

“Pada asas bulanan, KDNK melonjak dengan merekodkan pertumbuhan enam peratus pada Mac apabila sekatan pergerakan yang mengehadkan pertumbuhan pada Januari dan Februari dilonggarkan.

“Penyusutan yang lebih kecil sebahagian besarnya disokong oleh peningkatan dalam permintaan domestik dan sokongan berterusan daripada keadaan luaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman KDNK suku pertama 2021 bersama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus yang diadakan secara maya hari ini.

Menurut Mohd. Uzir, dari segi bekalan, semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif untuk suku pertama 2021.

Kata beliau, sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan positif yang lebih kukuh, sebahagian besarnya disebabkan pengeluaran produk elektrik dan elektronik (E&E) yang baik.

“Sektor perkhidmatan mencatatkan penyusutan yang lebih kecil. Sementara aktiviti berkaitan pengguna terkesan akibat langkah pembendungan dalam dua bulan pertama tahun ini, impaknya lebih kecil berbanding ketika PKP pertama memandangkan kebanyakan aktiviti ekonomi masih dibenarkan beroperasi.

“Sementara itu, pertumbuhan dalam sektor agrikultur melonjak, sebahagian besarnya dipacu perkembangan dalam subsektor ternakan, perhutanan dan pembalakan, selain subsektor agrikultur lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya