Andalusia teroka pasaran kurma - Utusan Malaysia

Andalusia teroka pasaran kurma

IDA Riswana Idris menunjukkan kurma yang diimport oleh Andalusia Food Industries Sdn. Bhd. di Desa Pandan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang meronta-ronta tidak sabar untuk mengerjakan haji, tidak kurang juga ramai yang menyuarakan rasa rindu untuk kembali ke tanah suci. Namun pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa manusia di seluruh dunia menyebabkan niat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu terpaksa ditangguh buat sementara waktu.

Pasti terdetik di hati betapa seronoknya jika dapat beribadat di tanah suci setiap kali menonton azan di kaca televisyen, mahupun tayangan drama atau filem yang memaparkan keindahan Kaabah dan keamanan kota Madinah. Cemburu juga melihat insan-insan terpilih yang berpeluang beribadat di tanah suci itu.

Dek kerana rasa rindu itu sering ke udara dalam kalangan ahli kumpulan Facebook, Rindu Baitullah dan Rasulullah S.A.W, Pengarah dan Penasihat Perundangan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris mencetuskan idea untuk membawa ‘memori’ yang pa­ling dekat dan sentiasa mengingatkan seseorang tentang tanah suci.

Justeru, beliau menerokai pasaran kurma yang dikenali sebagai Kurma Yang Dirindui (KYD) melalui syarikat Andal­usia Food Industries Sdn. Bhd. sejak Februari lalu sebagai buah ta­ngan dan pengubat rindu kepada rakyat Malaysia yang tidak dapat ke tanah suci kerana pintu sempadan negara masih lagi ditutup bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Kita memikirkan apa lagi yang boleh dibuat sepanjang pandemik ini memandangkan negara masih lagi tidak membenarkan rakyat melancong. Kita ingat Januari lalu sudah boleh mengerjakan umrah tetapi tidak juga, malah kini kita di bawah perintah darurat sehingga Ogos.

“Jadi, saya fikirkan apa yang kita boleh masuk memandang­kan kita tidak boleh ke sana. Dari situ saya terbuka untuk melibatkan diri dalam perniagaan kurma dengan mengimportnya dari Madinah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Ida Ris­wana, perniagaan ini menyumbang sebanyak 30 peratus daripada ke­untungan syarikat selepas industri pelancongan ditutup pada 28 Februari tahun lalu.

“Syarikat pada masa kini banyak bergantung kepada perniagaan kurma secara dropship, sekali gus membolehkan Andalusia terus bertahan dalam kea­daan ekonomi sekarang. Malah, melalui perniagaan ini mampu menyelamatkan seramai 93 pekerja tetap mereka daripada hilang sumber pendapatan.

“Jika sebelum ini kita mempunyai 293 pekerja tetap dan hampir 250 pekerja kontrak, namun ada di antara mereka terpaksa ditamatkan perkhidmatan, malah sebahagiannya diberi cuti tanpa gaji,” ujarnya.
Melalui perniagaan ini, Andalusia memfokuskan jualan kurma Ajwa selain Medjoul yang dimport khas dari Palestin, Safawi dan Anbar.

PEKERJAa melakukan proses menimbang dan membungkus kurma untuk diedarkan kepada para penjual. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

UBAH PERSEPSI JEMAAH
Menurut Ida Riswana, kurma yang dijual merupakan tuaian baharu yang boleh bertahan sehingga dua tahun sekiranya disimpan dengan baik dan pada suhu yang bersesuaian.

Tambahnya, beliau menyim­pan sebanyak 70 tan stok kurma Ajwa bagi memastikan bekalan tidak terputus selain mengekalkan harga di pasaran ekoran mendapat permintaan yang tinggi.

Melihat kepada prestasi perniagaan yang baik, beliau bercadang untuk memiliki gudang besar bagi menempatkan stok kurma memandangkan pada masa ini gudang sedia ada terletak di beberapa kawasan seperti di ibu pejabat di Desa Pandan, Kampung Pandan, Bangi selain sebuah lagi bakal dibuka di Nilai, Negeri Sembilan.

Melalui perniagaan ini juga, beliau mahu mengubah mindset jemaah haji atau umrah de­ngan membeli kurma di negara sendiri berbanding di Mekah atau Madinah. Ini kerana, kurma yang dijual sama dari segi rasa, kualiti dan lebih murah dari membeli di tanah suci, selain jemaah tidak perlu tunggu lama dan terpaksa membayar kos penghantaran pulang.

Dalam pada itu, Ida Riswana tidak menolak untuk terus mengembangkan perniagaanya dengan memperkenalkan produk berasaskan kurma.

“Kini masih lagi di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D). Jika kita lakukan bermakna kami adalah syarikat pertama di Malaysia yang me­nerokai pasaran tersebut.

“Jika sekarang banyak produk berasaskan kurma seperti susu, kek dan sebagainya tetapi saya berminat untuk terokai pasaran pes kurma. Idea ini datang selepas melihat anak memberi pes kurma kepada cucunya. Banyak kelebihan apabila makan makanan sunah ini,” katanya lagi.

Perniagaannya kini mempunyai seramai 718 dropship, 218 ejen dan 89 stokis dengan me­nyasarkan 10,000 dropship pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN