UTHM, PSSB jalin kerjasama strategik - Utusan Malaysia

UTHM, PSSB jalin kerjasama strategik

Majlis penyerahan geran tajaan PSSB kepada UTHM di Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama strategik dengan Perisind Samudra Sdn. Bhd. (PSSB) bagi melaksanakan projek inisiatif pembangunan dan penyelidikan Bandar Hijau Pintar (Green and Smart City).

Kerjasama itu membabitkan pemberian geran bernilai RM1 juta daripada PSSB kepada UTHM bagi tujuan penyelidikan awal.

Majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dan penyerahan replika cek te­lah diadakan 4 April lalu.

Pada majlis itu, UTHM diwa­kili Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, sementara PSSB diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Shafiee Mohd. Sanip dan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad.

Menurut Wahid, perjanjian itu untuk membina kerjasama dalam bidang penyelidikan, sangkutan industri dalam kala­ngan kakitangan, pelajar dan aktiviti tanggungjawab sosial.

Katanya, sebuah Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB telah diwujudkan bagi merancang, melaksana dan memantau segala aktiviti penyelidikan berkaitan ekonomi, pengangkutan, teknologi maklumat, analisis data raya dan pengurusan sisa dan alam sekitar menerusi persetujuan bersama.

“Penggunaan dana geran penyelidikan ini akan disalurkan kepada UTHM dan diurus tadbir oleh Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB yang diwujudkan di bawah OASIS Integrated Group (OIG).

“Dengan termeterainya kerjasama ini, pihak UTHM-PSSB turut mewujudkan sebuah makmal dinamakan ‘Perisind BizLab’ sebagai makmal industri di universiti ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Wahid, Jawatankuasa Kerja UTHM-PSSB akan menyelaras perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek serta aktiviti di bawah Perisind BizLab, manakala Fakulti Pe­ngurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM pula akan menyediakan fasiliti bagi penubuhan makmal itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya