PjH bina 19 projek bernilai RM2 bilion - Utusan Malaysia

PjH bina 19 projek bernilai RM2 bilion

Lakaran artis projek TERRA yang bakal dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Berhad dijadual pada suku ketiga tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Putrajaya Holdings (PjH) kini dalam perancangan membangunkan 19 projek pembangunan melibatkan kos ke­seluruhan pembinaan berjumlah hampir RM2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hashimah Hashim berkata, selain projek perumahan, dua projek komersial utama yang dikendalikan pemaju utama bandar Putrajaya itu ialah 8MD3/TERRA dan 7MD7 yang akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Menurut beliau, TERRA adalah sebuah projek pemba­ngunan campuran bersepadu berhadapan dengan tasik di Plot 8MD3 di Presint 8.

“Projek ini melibatkan tiga blok kondominium, pangsapuri perkhidmatan, pusat beli-belah dan ruang-ruang perniagaan berhadapan tasik. Selain itu, terdapat juga dewan acara dengan kapasiti sebanyak 700 orang.

“Antara komponen awal yang akan dilancarkan bersama de­ngan Galeri Jualan TERRA ialah TERRA CYCLE yang merupakan satu inisiatif menarik lebih ramai pe­ngunjung khususnya peminat sukan basikal untuk me­lakukan aktiviti itu di sisir tasik Putrajaya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Hashimah berkata, projek 7MD7 pula adalah pemba­ngunan berorientasikan transit dan juga kompleks komersial yang terletak di Presint 7 di atas keluasan tanah sebesar 5.93 ekar (2.372 hektar) bersebelahan Putrajaya Sentral yang menempatkan stesen MRT dan ERL.

Katanya, ia menempatkan 1,000 tempat letak kereta untuk pengguna MRT dan mempunyai 945 unit pangsapuri perkhidmatan, hotel, bangunan pejabat dan pusat beli-belah setelah selesai pembinaannya kelak.

“Kemudahan dan jalan perhubungan juga disediakan seperti jejantas pejalan kaki ke Stesen MRT dan Hospital Putrajaya. Fasa pertama projek itu dijangka siap pada awal tahun 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×