fbpx

24 Jun 2021, 10:46 am

  TERKINI

Keuntungan suku pertama Bursa melonjak 87.5 peratus

Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk pemulihan ekonomi tahun ini, namun sepantas dan sejauh mana tahap pemulihan masih tidak dapat dipastikan. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2021 melonjak 87.5 peratus kepada RM121.4 juta berbanding RM64.7 juta yang dilaporkan dalam suku sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan ini dipacu peningkatan pendapatan operasi sehingga 56.7 peratus kepada RM228 juta. Jumlah perbelanjaan operasi keseluruhan meningkat 9.2 peratus kepada RM69.4 juta berbanding RM63.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kumpulan memulakan tahun kewangan ini dengan kukuh berdasarkan momentum stabil sejak tahun lalu.

Ujarnya, purata nilai dagangan harian (ADV) untuk Perdagangan Dalam Pasaran Sekuriti (OMT) terus mencatat peningkatan 100.8 peratus kepada RM5.1 bilion daripada RM2.5 bilion dalam suku sama tahun lalu. 

“Pelabur runcit tempatan terus memainkan peranan penting dalam pasaran kami, didorong akses mudah ke pasaran saham dan persekitaran kadar faedah yang rendah. 

“Kami telah melihat prestasi yang berdaya tahan di pasaran kami pada suku pertama ini dan menjangka akan terus menarik pelaburan dan perdagangan sepanjang tahun 2021,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagi suku semasa, Pasaran Sekuriti mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM150.9 juta berbanding RM78.1 juta tahun lalu, melonjak 93.3 peratus disebabkan ADV lebih tinggi bagi OMT. 

Menurut Bursa Malaysia, kadar bayaran penjelasan efektif yang lebih tinggi pada suku ini juga menyumbang kepada peningkatan hasil dagangan, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh jumlah hari dagangan yang lebih rendah. 

Hasil dagangan Pasaran Derivatif pula menyusut 15.7 peratus kepada RM22.6 juta berbanding RM26.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia disebabkan jumlah kontrak yang rendah bagi niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI), selain jumlah hari dagangan yang lebih rendah.

Sementara itu, bagi Pasaran Islamik, aktiviti dagangan lebih tinggi dalam Bursa Suq Al-Sila ‘(BSAS) dipacu peningkatan hasil dagangan sebanyak 16.0 peratus kepada RM3.4 juta berbanding RM2.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

Muhamad Umar menambah, walaupun Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk pemulihan ekonomi tahun ini, namun sepantas dan sejauh mana tahap pemulihan masih tidak dapat dipastikan. 

“Setelah mengambil kira impak Covid-19 tahun ini, Bursa akan terus menyokong peserta pasaran dengan menyediakan inisiatif ekosistem mudah di samping langkah-langkah bantuan untuk meringankan beban kewangan dan menawarkan kelonggaran yang lebih besar,” ujarnya. – UTUSAN