Kemajuan teknologi pada era internet kebendaan (IoT) hari ini telah membuka perspektif baharu kepada setiap perniagaan tentang kepentingan menguasai pasaran digital agar dapat terus bersaing dan berkembang maju.
Namun, penguasaan kemahiran digital ini tidak seharusnya ditumpukan pada kemampuan mengendali sesebuah platform dan pembangunan kandungan digital semata-mata, tetapi merangkumi kefahaman dalam mengenal prospektus dan potensi melalui data analitik pasaran agar selaras dengan aspirasi perniagaan.
Atas faktor tersebut, data analitik memainkan peranan penting. Ia membantu perangkaan strategi pemasaran digital yang kos efektif untuk capaian sasaran prospek pasaran jangka panjang yang tepat. Secara tidak langsung, ia juga membantu pulangan pelaburan (ROI) yang lebih baik dalam menjayakan kempen pemasaran dan promosi disamping memperkukuh kredibiliti perniagaan.
Memahami trend pasaran, tingkah laku pengguna dan implikasi terhadap setiap aktiviti pemasaran yang dilaksanakan di setiap platform digital dan corong jualan media sosial perlu diimbangi dengan fakta yang diperolehi melalui data analitik. Oleh itu, terdapat beberapa elemen yang perlu diambil kira oleh usahawan atau organisasi perniagaan dalam mengurus data analitik yang boleh dijadikan sebahagian pengkalan data penting untuk membina autoriti pasaran.
Bagi istilah pemasaran digital, data analitik mengacu kepada pelbagai aplikasi yang bermula daripada Basic Business Intelligence (B.I.) dan Online Analytical Processing (OLAP), sehinggalah pengembangan sistem analitik untuk fokus maklumat yang lebih luas. Ia membantu memperolehi fakta tingkah laku pengguna bagi mengoptimasi kempen pemasaran, seterusnya meningkatkan daya saing digital melalui capaian kandungan dengan lebih berkesan kepada prospek pasaran.
Data analitik merupakan sistem pengembangan kecerdasan buatan (AI) yang membantu mengenal pasti pola pengunjung dalam talian. Antara lain bermaksud, ia mencatat maklumat merangkumi jumlah dan trend audiens yang berkunjung ke sesebuah platform digital organisasi perniagaan. Secara asas, ia malah disediakan secara percuma oleh pembangun enjin carian seperti Google melalui platform Google Search Console dalam membantu mengenal pasti keberadaan pengunjung untuk laman sesawang, e-dagang dan halaman blog.
Kini, terdapat pelbagai aplikasi plugin yang turut disediakan terutamanya kepada pengguna platform Content Management System (CMS WordPress) bagi memudahkan integrasi maklumat data analitik melalui enjin carian yang lebih terperinci. Ia amat membantu perniagaan untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat tentang algoritma, kata kunci, pola lokaliti merangkumi geografi dan demografi, termasuk trend waktu aliran trafik audiens ke laman sesawang.
Antara plugin pilihan bagi kebanyakkan peneraju industri digital untuk menjana maklumat data analitik melalui laman sesawang, e-dagang dan halaman blog adalah plugin ExactMatrics. Aplikasi plugin ini boleh dimuat turun melalui dashboard CMS WordPress secara percuma atau memilih pakej berbayar untuk data analitik yang lebih terperinci. Memanfaatkan plugin analitik percuma sebenarnya sudah memadai bagi perniagaan berskala perusahaan kecil dan sederhana.
Data analitik juga ada disediakan untuk platform media sosial. Ia turut dimanfaatkan sebagai landasan untuk menilai dan menambahbaik strategi pemasaran dan promosi di media sosial. Antara saluran yang menjadi pilihan organisasi perniagaan dan usahawan di Malaysia adalah Facebook dan Instagram. Namun, data analitik hanya disediakan untuk Facebook Page dan Instagram Business bagi membantu usahawan mengenal pasti trend audiens dalam menyokong leads dan conversion dengan lebih berkesan.
Justeru itu, data analitik merupakan elemen penting yang perlu dimanfaatkan oleh setiap perniagaan dalam memperkukuh prospek digital. Memahami pola pengguna dan pasaran melalui penguasaan data analitik juga merupakan aset jangka panjang perniagaan yang selaras dengan tuntutan pemasaran era digital.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










