Saudi Aramco mohon penangguhan - Utusan Malaysia

Saudi Aramco mohon penangguhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Saudi Aramco dilapor­kan telah meminta penangguhan pembayaran hutang selama setahun daripada beberapa buah bank, berjumlah AS$10 bi­lion (RM40.55 bilion).

Menurut sumber, pemulihan harga minyak mentah dunia dilihat gagal membantu syarikat milik kerajaan itu mengurangkan hutangnya.

Sumber tersebut disahkan oleh Loan Pricing Corporation (LPC), portal berita dimiliki oleh Refinitiv.

“Keputusan adalah tertakluk kepada bank sama ada untuk melanjutkan tempoh bayaran hutang atau sebaliknya, tetapi pemberi pinjaman dilihat mahu mengekalkan hubungan baik dengan Aramco dengan harapan akan mendapat bisnes pada masa hadapan,” kata LPC memetik sumber.

Seorang sumber yang mengesahkan laporan itu berkata: “Ia adalah Aramco, kenapa tidak?.”

Aramco bagaimanapun enggan mengulas lanjut laporan berkenaan.

LPC turut melaporkan bahawa, Aramco kemungkinan cuba berunding untuk mengurangkan kadar hutangnya dengan alasan kedudukan pasaran hanya pulih sejak Mei lalu, selepas harga minyak merudum dan keadaan pandemik masih tidak menentu.

Pinjaman berkenaan bermula pada 50 mata asas (bps) berdasarkan LIBOR, kadar yang digunakan untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan, kata satu sumber kepada Reuters, sambil menambah Aramco cuba mengurangkan kadar bayaran balik sebanyak 10 mata kepada 15 bps.

Minggu lalu, harga minyak hadapan Brent berada pada kadar AS$66.12 (RM268.16). Pada Mei tahun lalu, Brent didagangkan pada harga sekitar AS$30 (RM121.67) setong didorong oleh kejatuhan permintaan disebabkan krisis pandemik Covid-19.

Sumber memberitahu Reuters tahun lalu bahawa Aramco akan menggunakan pinjaman tersebut untuk menampung kos pengambilalihan 70 peratus saham Saudi Basic Industries Corp. (SABIC) daripada Dana Pelaburan Awam Arab dengan nilai AS$70 bilion (RM283.89 bilion).

Tahun lalu, keuntungan Saudi Aramco menjunam menyebabkan ia gagal untuk membayar dividen tahunan sebanyak AS$75 bilion (RM304.12 bilion), sebahagian besarnya kepada kerajaan Arab Saudi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya