Pemasaran media sosial dengan TikTok - Utusan Malaysia

Pemasaran media sosial dengan TikTok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pasti kebanyakan netizen pada hari ini sudah mengetahui tentang aplikasi TikTok. Ia antara platform media sosial yang semakin mendapat sambutan terutamanya bagi sebahagian besar generasi muda. Pada awal kemunculannya pada 2016, ramai yang tidak menganggap TikTok sebagai salah satu saluran pemasaran yang berpotensi selain hanya sekadar platform media sosial baharu yang unik dalam berkongsi gelagat santai dan hiburan.

Namun, dengan penambahbaikan ciri-ciri pengeditan video berdurasi pendek yang semakin menarik, sederhana dan mudah dikendalikan, TikTok mula menjadi pilihan atau trending dalam kalangan pengguna media sosial sehingga turut menarik perhatian organisasi komersil, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk dijadikan sebagai salah satu landasan memperkukuh kredibiliti perniagaan dan pasaran.

Walaupun seseorang itu tidak mahir dalam proses pengeditan video, TikTok merupakan aplikasi SSV (Super Short Video) dengan durasi pendek sehingga 180 saat yang menyediakan kemudahan pengeditan merangkumi pilihan muzik, stiker, tapisan dan kesan yang mampu melonjakkan mutu penghasilan video. Malah kandungan video TikTok juga boleh dimuat turun serta dikongsikan di kebanyakan platform media sosial yang lain.

TikTok boleh didaftarkan secara percuma bagi membantu memperkenalkan produk serta jenama kepada prospek pasaran. Terdapat beberapa kaedah yang boleh dipraktikkan dalam memanfaatkan TikTok secara kos efektif dan berkesan.

Mencipta Kandungan Santai
Video TikTok mudah ditularkan sekiranya kandungan yang dibangunkan mempunyai daya tarikan serta nilai kreativiti yang bersesuaian dengan citarasa audiens. Membina kandungan mengenai produk atau perkhidmatan secara santai tentang produk, testimoni atau pence­ritaan yang melibatkan aktiviti perniagaan merupakan antara input yang berkesan.
Bagi anda yang terlibat dalam sektor perusahaan atau pemasaran produk, antara contoh yang boleh diketengahkan adalah mencipta kandungan seperti proses pembuatan produk, panduan, demonstrasi atau testimoni yang disertakan muzik dan teks secara santai dan kreatif. Pastikan juga agar kan­dungan video yang dicipta tidak keterlaluan dengan meme viral yang boleh merosakkan potensi pasaran.

Cabaran Tanda Pagar
Antara kaedah lain, anda juga boleh mempromosikan produk dan perniagaan melalui aktiviti cabaran tanda pagar (Challenge Hastag). Ia merupakan cabaran khusus bagi pengguna TikTok mencipta sesebuah kandungan dan mendorong pengguna lain untuk mereka ulang perkongsian tersebut melalui tanda pagar tertentu. Kaedah ini juga menjadi pilihan bagi kebanyakan jenama besar kerana ia bukan sekadar mempromosikan produk dan perniagaan, tetapi menggalakkan lebih banyak sebaran, interaksi serta engagement pengguna.

Kerjasama Pemasar Berpengaruh
TikTok juga adalah saluran yang ideal bagi usahawan dan organisasi perniagaan sepertimana Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube untuk memperluaskan lagi jangkauan audiens kepada prospek pasaran yang berpotensi melalui kerjasama pemasar berpengaruh (influencer marketing). Sekiranya anda berhasrat meluaskan lagi strategi pemasaran dengan TikTok, me­laksanakan kaedah ini juga dapat menyokong impak kempen pemasaran dan promosi yang berkesan berbanding kaedah pemasaran konvensional.

Periklanan TikTok
Anda juga boleh memanfaatkan khidmat periklanan berbayar TikTok. Ia mampu menjangkau kepada lebih ramai audiens serta pelanggan berpotensi seperti mana periklanan berbayar yang ditawarkan oleh saluran media sosial lain. Antara kelebihan periklanan TikTok adalah persaingan yang masih rendah kerana ia baru mula ditawarkan pada sekitar 2019.
Justeru, memanfaatkan kelebihan serta potensi TikTok dalam menyokong strategi pemasaran adalah salah satu kaedah yang kreatif dan kos efektif. Perubahan trend digital kini menjadikan TikTok sebagai platform yang relevan dalam menerobos potensi pasaran semasa.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN