Pelan pemulihan Felda terjejas? - Utusan Malaysia

Pelan pemulihan Felda terjejas?

Tawaran rendah berbanding harga semasa minyak sawit yang meningkat di pasaran global, dikatakan punca kegagalan Felda untuk menguasai baki saham dalam FGV. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham FGV Holdings Berhad (FGV) melonjak sehingga 37 sen atau 28.5 peratus kepada RM1.67 sen semalam, selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) gagal dalam usahanya untuk mengambil alih semua baki saham tidak dimiliki dalam syarikat perladangan itu.

Bagaimanapun, harga saham FGV turun 10 sen untuk ditutup pada RM1.57 dengan 91.47 juta nilai saham didagangkan.

Menurut Felda, pihaknya telah berjaya menguasai 81 peratus saham FGV selepas tempoh tawaran am mandatori tamat kelmarin. Kerajaan Pahang pula memiliki lima peratus dan kerajaan Sabah melalui syarikatnya, Sawit Kinabalu memiliki empat peratus saham FGV.

Felda memerlukan sekurang-kurangnya 90 peratus saham FGV untuk membolehkan syarikat perladangan itu dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

Mengulas perkembangan itu, penganalisis berpendapat, Felda perlu mengambil langkah drastik menerusi kerjasama dengan pihak ketiga bagi mendapatkan lagi sembilan peratus pemilikan saham, sekali gus mencapai hasrat pengambilalihan FGV.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah pembelian saham menerusi kerjasama juga dapat memberikan peluang strategik yang lain kepada Felda mahupun FGV, sekali gus meningkatkan prestasi kedua-dua entiti tersebut.

Katanya, kegagalan Felda untuk mengambil alih FGV seperti yang dirancang memberikan kesan kewangan dalam jangka panjang kepada Felda.

“Kesan kewangan mungkin memaksanya menambah peruntukan lebih daripada penilaian RM4.74 bilion untuk menawarkan harga melebihi RM1.30 sesaham sekarang ini. Pemegang saham minoriti mungkin mahukan tawaran harga lebih tinggi sesuai dengan harga minyak sawit (CPO) yang berada pada harga melebihi RM4,000 satu tan.

“Oleh itu, kesan kewangan mungkin menjejaskan pelan pemulihan Felda itu sendiri di mana peruntukan awal tidak mencukupi dan terpaksa diambil dari sumber-sumber lain seterusnya mungkin mengurangkan peruntukan bahagian lain.

“Kesan jangka waktu yang lebih panjang diperlukan untuk menyusun semula Felda dan FGV itu sendiri sekali gus mengakibatkan kehilangan peluang untuk memajukan syarikat terutama dalam mengembangkan perniagaan serta melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, Felda perlu membuat keputusan sama ada memohon lanjutan tempoh untuk terus tawar pembelian baki saham tersebut.

“Mungkin kali ini Felda boleh meletakkan harga yang lebih tinggi, atau pastikan pemegang saham awam meningkat kepada 25 peratus berbanding 19 peratus.

“Jika gagal, FGV akan kekal sebagai entiti tersenarai dalam Bursa Malaysia dan mematuhi tadbir urus korporat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ini bermakna, Felda tiada kebebasan sepenuhnya untuk mengendalikan FGV,” ujarnya.

Selepas berjaya menguasai 81 peratus saham FGV, Felda dalam kenyataannya semalam memaklumkan akan memberi lebih tumpuan kepada aktiviti hiliran yang kurang diberi perhatian sebelum ini.

Pada 8 Disember 2020, Felda telah mengumumkan pembelian 506.2 juta saham mewakili 13.88 peratus pegangan saham FGV daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. pada harga RM1.30 sesaham berjumlah RM658 juta.

Ini meningkatkan pegangan saham Felda dan sekutunya termasuk Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. (KPF) dalam FGV daripada 36.6 peratus kepada 50.5 peratus sekali gus mencetuskan tawaran mandatori terhadap baki saham yang belum dimiliki oleh Felda dan sekutunya.

Pembelian saham daripada KWAP dan Urusharta Jamaah telah selesai pada 22 Disember 2020 dan mengakibatkan tawaran am mandatori tersebut menjadi tidak bersyarat.

Tempoh tawaran am mandatori itu telah tamat 15 Mac dan sebanyak 987.3 juta (27.1 peratus) saham telah diterima oleh Felda berikutan tawaran am mandatori manakala 125.6 juta (3.4 peratus) saham telah dibeli di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN