Jana pendapatan RM7,000 sebulan - Utusan Malaysia

Jana pendapatan RM7,000 sebulan

Mohd. Sallehhuddin Hassan ketika merasmikan Gloria Jean’s Coffees @ JPM di Kompleks Setia Perdana, Putrajaya, semalam sambil disaksikan oleh Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor (kanan). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan B40 disarankan untuk menceburi perniagaan francais kerana ia merupakan satu bentuk perniagaan mudah dioperasikan malah mampu menjana pendapatan sehingga RM7,000 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, mereka boleh memilih konsep francais mikro dan mampu milik yang ditawarkan PNS dengan saiz perniagaan di bawah RM50,000.

Kata beliau, ia turut membuka peluang kepada mereka yang tidak biasa dalam perniagaan kerana jenama dan produk sudah dikenali ramai dan mereka hanya mengikut manual perniagaan yang ditetapkan.

“Dalam Dasar Keusahawanan Negara 2030 antara objektifnya menarik usahawan menceburi bidang perniagaan yang ditukar naratifnya menjadi ‘perniagaan bukan alternatif pekerjaan’ tetapi satu pilihan pekerjaan.

“Jadi kelebihan francais ini, kalau kita masuk dalam perniagaan yang tidak ada jenama amat susah untuk bergerak, tetapi francais ini satu bentuk perniagaan yang sudah ada jenama, produk yang sudah sedia kenal dan mempunyai SOP. Mereka yang tak biasa berniaga pun se­nang sebab dah ada SOP, ikut sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan outlet kafe Gloria Jean’s Coffees (GJC) ke-43 di Jabatan Perdana Menteri yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Seri Mohd. Sallehhuddin Hassan, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut melaksanakan program transformasi perniagaan dengan mengambil perniagaan yang berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu perniagaan francais.

Menurut Mohd. Hilaluddin, mereka akan diberi khidmat nasihat selain memberikan pinjaman kewangan untuk merangka perniagaan seperti dokumentasi, membangunkan manual produk dan prospek keuntungan.

“Kita akan bekerjasama dengan kementerian lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk membantu graduan menganggur, golongan asnaf yang tidak mempunyai pekerjaan.

“Mereka ini akan dibantu dalam program keusahawanan selama empat minggu dan mereka boleh memilih 137 perniagaan francais mikro yang boleh diceburi,” katanya.

Beliau turut memberitahu, PNS menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai francaisor yang boleh memberikan kesan pelbagai peringkat dan memberikan pendapatan kepada lebih ramai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya